Pada 26 September 2021, Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan satu sesi perkongsian ilmu bertajuk “Projek Bangsa Johor Bahagia Untuk Pembangunan Komuniti”. Sesi ini adalah bersempena dengan penganjuran UTM Library Research Weeks 2021. Program kali  ini menampilkan panel jemputan yang terlibat secara langsung dalam Projek Bangsa Johor Bahagia (BJB) iaitu Prof. Madya Dr. Maimunah Sapri yang merupakan Ketua Projek dibawah bidang Fasiliti Komuniti Sejahtera Projek BJB dan panel kedua iaitu Puan Fatimah Ismail yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Komuniti Jentayu Kangkar Pulai.

Projek Bangsa Johor Bahagia (BJB) adalah projek pembangunan komuniti yang diilhamkan oleh DYMM Sultan Johor dan DYMM Permaisuri Johor. Projek ini memanfaatkan kepakaran dari Universiti Teknologi Malaysia khususnya dan beberapa lagi agensi-agensi lain. Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai dipilih sebagai komuniti rintis dalam projek ini yang menfokus kepada penambahbaikkan dalam pengurusan fasiliti, rekabentuk persekitaran, pembangunan sosial dan transformasi digital. Menurut Dr Maimunah, program ini berjaya menggembeling kepakaran penyelidik UTM dalam mengubah landskap kehidupan komuniti tersebut. Kumpulan penyelidik UTM mendekati masyarakat melalui wakil perbadanan untuk mengenalpasti bentuk saluran bantuan yang diperlukan. Kajian profil penduduk turut dilaksanakan untuk mencari kekuatan, kekurangan, kualiti hidup dan persekitaran komuniti di rumah pangsa tersebut. Dapatan kajian inilah yang digunakan sebagai penanda aras untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan dan keluar daripada kepompong lama mereka.

PM Dr. Maimunah juga berkongsi tentang beberapa program yang berjaya dilaksanakan iatu penubuhan skuad Ejen 757 atau Skuad Fasiliti Sejahtera dalam kalangan masyarakat dengan membantu peranan perbadanan sebagaimana Akta 757. Skuad Fasiliti ini bertanggunjawab membantu, menyelia fasiliti dan mengenalpasti keperluan kemudahan masyarakat di Kangkar Pulai. Selain itu, penarafan di antara blok turut dilaksanakan melalui sesi audit khas yang menekankan aspek kebersihan serta kesejahteraan penghuni setiap blok. Ganjaran turut diberikan kepada sebagai imbuhan atas usaha mereka menjayakan inisiatif ini.

Puan Fatimah selaku wakil komuniti rumah pangsa turut berkongsi pengalamannya ketika terlibat dalam projek rintis ini. Projek BJB ini sangat dinanti-nantikan oleh komuniti rumah pangsa yang inginkan suara serta keperluan mereka didengar oleh pihak berwajib.  Cabaran terbesar kepada barisan pengurusan projek BJB adalah untuk mendapatkan kepercayaan serta keyakinan komuniti terhadap program tersebut. Namun ianya mula mendapat sambutan setelah komuniti melihat sendiri perubahan demi perubahan ke arah peningkatan taraf kehidupan mereka. Program ini dilihat sangat berimpak dan telah menarik perhatian komuniti untuk turut terlibat.

Kedua panel berharap agar projek ini dapat diteruskan dan dilaksanakan di penempatan lain dengan menjadikan Flat Kangkar Pulai sebagai penanda aras. Penglibatan para akademik, penyelidik, badan profesional, badan bukan kerajaan dan industri juga perlu dalam memberikan sokongan terhadap kelangsungan projek pembangunan seperti ini demi memantapkan pembangunan sosio ekonomi rakyat Johor.

Share this :