Program K-Sharing pada sesi kali ini adalah program anjuran Perpustakaan UTM Kampus Pagoh dengan sinergi bersama Jawatankuasa Pelestarian UTM Kampus Pagoh telah membawakan tajuk “Minyak Masak Terpakai: Apa Nak Buat” dengan menjemput seorang panel, Dr. Noorzana Khamis, seorang Pensyarah Kanan di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM Johor Bahru manakala moderator bagi program ini ialah Encik Mohd Farid bin Rahmat, Timbalan Pendaftar, UTM Kampus Pagoh. Program yang diadakan pada 17 Mac 2022 ini telah bersiaran secara langsung di laman Facebook UTM Kampus Pagoh dan telah ditonton oleh seramai 315 orang penonton ketika program berlangsung.

Pada permulaan program, Dr. Noorzana telah menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan minyak masak terpakai. Minyak masak terpakai adalah minyak masak yang telah digunakan untuk menggoreng sebanyak tiga kali. Selepas tiga kali digunakan, minyak tersebut tidak disarankan untuk digunakan lagi untuk menggoreng tetapi boleh disimpan dan dikumpulkan untuk dikitar semula. Minyak masak yang dipakai untuk menggoreng lebih tiga kali boleh memudaratkan kesihatan kerana akan menyumbang kepada peningkatan kolesterol.


Kemudian Dr. Noorzana menerangkan juga beberapa perkara yang boleh dibuat dengan minyak masak terpakai tersebut seperti menghantar dan menjual kepada SWM Environment Sdn Bhd, kitar semula menjadi sabun, lilin, pelita dan sebagainya. Dr. Noorzana ada menekankan bahawa minyak masak terpakai tidak boleh dibuang ke sinki, dituang di longkang dan dicampak ke tanah sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir pengguna kerana ia akan merosakkan ekosistem, pencemaran sungai dan membuatkan paip, longkang dan parit tersumbat dan kotor.

Seterusnya Dr. Noorzana berkongsi mengenai cara mengumpul minyak masak terpakai iaitu:
1. Sejukkan minyak masak selepas menggoreng
2. Tapis dan masukkan ke dalam botol/bekas lutsinar
3. Kumpul sebanyak yang boleh


Dr. Noorzana juga sangat menggalakkan para pengguna untuk mengitar semula minyak masak terpakai kerana ianya dapat menjaga alam sekitar, menghasilkan produk lain seperti sabun, lilin dan pelita dan menjana pendapatan. Dr. Noorzana juga turut berkongsi kaedah menghasilkan produk-produk tersebut dalam sesi perkongsian ini. Dengan menghasilkan produk-produk ini, ianya boleh dikomersilkan dan seterusnya dapat menjana pendapatan.

Dr. Noorzana berkongsi juga mengenai aktiviti bersama komuniti berkenaan pengurusan minyak masak terpakai serta penghasilan produk daripada minyak masak terpakai. Di akhir sesi perkongsian, Dr. Noorzana mengajak para penonton yang berada di Johor Bahru untuk hadir ke projek pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai pada 26 dan 27 Mac 2022 bertempat di MYDIN Mutiara Rini.

Share this :