Pada 13 April 2022, telah diadakan Siri Khas Perkongsian Ilmu bersama Akademi Zakat (AZKA) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ MAIWP) dengan tajuk ‘Kutipan Zakat Rentas Sempadan – Teori Fiqh dan Realiti di Malaysia’  anjuran Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sinergi Bersama AZKA dan PPZ MAIWP. Program ini telah bersiaran langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan Youtube UTM Library TV selama 1 jam 15 minit bermula 11.00 pagi sehingga 12.15 tengahari. Panel program ialah Dr Muhammad Ikhlas Bin Rosele, pensyarah kanan Jabatan Fiqh & Usul Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya manakala moderator ialah Puan Noor Ayesha Binti Mohd Ezanee, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM KL.

Dr Muhammad Ikhlas memulakan bicara beliau dengan merungkai definisi istilah kutipan zakat rentas sempadan bukanlah seperti isu warga asing atau perkahwinan di luar negara tetapi ianya adalah salah satu isu yang berkaitan dengan kutipan zakat merentasi di luar bidang kuasa. Isu ini sudah lama berlaku dan ia perlu dipandang serius oleh pihak Pusat Pungutan Zakat. Rentetan daripada itu, Dr Muhammad Ikhlas telah mencadangkan kajian beliau mengenai dengan kutipan zakat rentas sempadan untuk melihat sejauh mana isu ini dipandang dari sudut perspektif rukun islam dan melihat realiti yang sebenar berlaku di Malaysia.


Beliau juga mengakui terdapat kewujudan dari pihak tertentu yang menjalankan usaha mengutip zakat di luar batas sempadan negeri dan negara. Isu ini perlu diberikan perhatian serta dikaji dengan melihat sejauh mana kedudukan dan apa hubung kait rukun islam dengan undang – undang sedia ada. Ia juga dilihat samada memberi kesan kepada sah atau tidak zakat yang dibayar. Seluruh keputusan yang dibuat perlu difokuskan kepada pandangan yang kuat dan mempunyai asas-asas yang kukuh untuk dijadikan sandaran. Hasil daripada data kajian yang dilakukan, terdapat beberapa kesimpulan yang selari dengan kaedah yang dijalankan. Pertamanya, ia berkait dengan prinsip kutipan zakat dimana mengeluarkan zakat bukan sahaja ibadah dalam rukun islam malahan perlu melihat kaedah pentadbiran dan cara urus. Kutipan zakat yang dibayar boleh berlaku melalui rela hati atau kaedah urus oleh pihak berautoriti. Ianya juga disebut sebagai “ karitatif “ dan “otoritatif” dalam Bahasa Indonesia.

Keduanya, Dr Muhammad Ikhlas mengupas tentang lokasi atau tempat zakat yang dikutip bersandarkan hadis Riwayat al – Bukhari menjelaskan bahawa zakat diagih di tempat ianya dikutip. Isu ini juga disandarkan dengan hadis yang lain iaitu Al-Syirazi(t.t) dan juga al-khatib al-Syarbini (2011), menyatakan bahawa zakat yang dibelanjakan kepada asnaf perlulah berada pada negeri dimana harta itu wujud. Berbalik pada pentadbiran di Malaysia, ianya tertakluk di bawah kuasa setiap negeri dan bertetapan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Setiap negeri akan memutuskan undang–undang yang khusus berkaitan dengan hal ehwal zakat.


Ketiganya, Dr Muhammad Ikhlas mengulas teori terdapat dua komponen kutipan zakat rentas sempadan iaitu secara lansung atau tidak langsung. Bagi kutipan secara langsung, ianya merupakan satu kutipan yang jelas dengan niat di luar kawasan yang diberikan kuasa atau badan yang melantik. Ia adalah berbeza dengan kutipan secara tidak langsung, ia merupakan amalan zakat yang melibatkan persempadan negeri dan sukar dikawal. Di akhir program, Dr Muhammad Ikhlas juga menjawab beberapa soalan dari penonton dan merumuskan terdapat enam saranan yang wajar dikemukakan kepada setiap negeri. Antara saranannya ialah institusi zakat negeri perlu menyediakan kertas fatwa atau peraturan yang jelas mengenai larangan melaksanakan kutipan zakat rentas sempadan di negeri masing-masing supaya ianya lebih selari dan segala keputusan perlu disokong dengan hujah fiqh serta perudangan Malaysia.

Share this :