Program BookSharing@UTMKL 2022 untuk Siri 7 Program BookSharing@UTMKL 2022 telah diadakan pada 23 Jun 2022 (Khamis) dengan menampilkan seorang pengulas iaitu Puan Adibah Nawwarah Binti Zulkapli (Pereka, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan). Beliau memilih buku yang bertajuk ‘ Cukup Hanya Allah’ karya Ustaz Kazim Elias.
Menurut pandangan pengulas, buku motivasi ini mampu mendorong individu yang membaca untuk menjadi muslim yang lebih baik berdasarkan topik-topik yang ditulis di dalam buku. Pengulas memulakan kupasan buku dengan menerangkan sifat ujub yang disentuh dalam buku ini iaitu perasaan bangga diri dan merasakan diri sempurna. Bahkan orang sebegini tidak boleh menerima teguran dan pandangan orang sekeliling kerana merasakan dirinya berada dipihak yang betul tanpa memikirkan perasaan orang lain. Negatifnya, ujub dapat memusnahkan diri dan silaturrahim sesama manusia.
Turut diterangkan adalah sifat hasad yang terbahagi kepada dua iaitu positif dan negatif. Pertama ialah hasad ghibthah iaitu seseorang berharap agar mempunyai nikmat yang ada pada orang lain. Hasad ini tidak memudaratkan orang lain bahkan menjadi kebaikan buat seseorang. Sifat seperti ini adalah positif bahkan ia sifat terpuji. Hasad dengki seperti ini mendatangkan semangat kepada kita untuk saling berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kategori hasad yang kedua ialah hasad ghirah adalah perasaan cemburu yang bersarang dalam hati. Orang yang memiliki sifat cemburu ini mungkin tidak mengganggu orang lain.
Buku ini menekankan hubungan ukhwah di mana Islam sangat menganjurkan umatnya untuk menjaga silaturrahim sekaligus melarang kita tidak bertegur sapa dengan orang sekeliling selama tiga hari. Melainkan asbab berjauhan, terputus komunikasi atau kesibukan. Sebelum mengakhiri perkongsian, penyampai menyeru untuk sentiasa bermunajat kepada Allah supaya dapat mendidik hati kita menjadi insan yang lebih baik dan sentiasa berhubung dengan Allah dalam memohon apa jua pertolongan.