Program Read & Relax Siri 16 yang diadakan pada 15 September 2022 ini telah disiarkan secara langsung dari Richiamo Coffee UTM Johor Bahru. Program kali ini telah menampilkan dua orang pengulas iaitu Tuan Hj. Khairy Hj. Halimi iaitu seorang penulis manakala panel yang kedua ialah Pn. Norzuzilawati Sulaiman yang merupakan Penolong Pengarah (Unit Penerbitan) dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Kedua-dua panel ini telah membincangkan tentang sebuah buku yang berjudul Komuniti Aljabar yang telah ditulis oleh Tuan Hj. Khairy Hj. Halimi sendiri. Moderator ialah Pn. Rosalina Awang, Ketua Unit Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Menurut Tn. Hj. Khairy, buku ini adalah merupakan tulisan berbentuk satira di mana penceritaan mengenai sifat-sifat dan perangai manusia itu disampaikan dalam bentuk perlambangan sama ada dengan menggunakan perlambangan haiwan ataupun tumbuh-tumbuhan. Seperti mana di dalam buku ini, elemen binatang diketengahkan oleh beliau dengan perlambangan lembu dan kerbau.

Pn. Zorzuzilawati pula berpendapat bahawa penulisan bercorak satira seperti ini semakin kurang mendapat tempat dalam corak penulisan penulis-penulis muda. Hal ini kerana kesukaran untuk membuat kajian mendalam mengenai sifat-sifat makhluk yang diperlu disatirakan itu dan ia mengambil masa yang agak lama. Justeru, buku bercorak satira semakin kurang diterbitkan. Menurut Tn. Hj. Khairy pula, beliau mendapati penulisan bercorak satira ini kebanyakannya mendapat tempat di hati pembaca warga senior dan mereka yang cuba untuk mendapatkan bimbingan penulisan satira daripada beliau juga adalah terdiri daripada golongan tersebut.

Seterusnya, Tn. Hj. Khairy dan Pn. Norzuzilawati turut memberikan komentar yang sama berkaitan dengan ‘font’ penulisan buku di mana mereka berdua mendapati ia sangat kurang sesuai untuk golongan sasaran pembaca buku ini iaitu golongan remaja dan dewasa. Mereka mendapati ‘font’ buku ini seakan-akan buku yang diterbitkan untuk kanak-kanak dan agak sukar dibaca oleh orang dewasa.

Di samping itu, Tn. Hj. Khairy juga turut menekankan bahawa betapa pentingnya kajian mendalam mengenai apa sahaja watak yang hendak diketengahkan di dalam mana-mana novel satira kerana perlambangan atau perbandingan dengan sifat-sifat haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan itu perlulah munasabah dan bersesuaian dengan perilaku manusia itu sendiri.

Kesimpulannya, kedua-dua panel bersetuju bahawa novel atau buku bercorak satira semakin kurang diterbitkan dan hanya mereka yang benar-benar minat mengenai penulisan satira sahaja yang mampu bertahan untuk terus menulis karya-karya satira di masa hadapan.

Share this :