Sempena Hari Wanita Sedunia, Perpustakaan UTM dengan kerjasama UTM Toastmasters Club, WANGI serta Pusat Islam dan BAKES UTM telah menganjurkan Program Sempena Hari Wanita dengan membawa tema ‘Saksama Bersama’. Perpustakaan UTM telah mengambil peluang bersinergi dengan menganjurkan program Knowledge Sharing “Kerohanian Dalam Memperkasa Wanita”. Program slot kedua ini telah menampilkan panel yang merupakan juara Daie Pendakwah Milenia Musim Pertama iaitu Daie Nor Adibah Rozain.

Panel telah memulakan bicara dengan petikan Surah An-Nahl ayat 97 yang bermaksud barang siapa yang mengerjakan kebajikan, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan akan Kami berikan balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. Menurut panel, tajuk “Kerohanian Dalam Memperkasa Wanita” membawa maksud bagaimana wanita ingin menambah nilai dalam diri dia dan bagaimana mahu menjadi kuat dalam menghadapi cabaran hidup serta bagaimana mahu kekal terus istiqomah dalam menjadi wanita solehah. Manusia mempunyai dua tanggungjawab iaitu sebagai hamba Allah dan Khalifah di muka bumi ini. Pandai kita sebagai manusia mengemudi hidup mengetahui apakah tujuan sebenar hidup di dunia ini, InsyaAllah pandailah kita menyusun apakah perkara penting yang kita perlukan dan apakah perkara yang kita boleh diketepikan dahulu.

Antara perkongsian amalan yang boleh dilakukan ialah perkara yang berkaitan hati dan keimanan. Panel mengatakan tanda Allah memberikan kebaikan kepada hambanya, Allah akan memberikan kefahaman agama kepadanya. Maka panel menyarankan supaya kita berusaha mencari kefahaman agama dan berusahalah mencari ilmu kerana itulah jalan ke arah kebaikan. Panel mengajak para pendengar supaya sama-sama muhasabah diri apakah pengaruh terbesar dalam kehidupan kita, apakah benda-benda yang kita pilih untuk mempengaruhi diri kita, apakah kita membenarkan manusia mempengaruhi diri kita dengan menayangkan segala benda yang meraka ada dan menganggap itulah kebahagian hidup. Janganlah kita salah meletakkan takrifan kejayaan dan kebaikan dalam kehidupan. Dekatkan diri kita kepada majlis ilmu supaya kita dapat selaraskan semula matlamat kehidupan dalam diri kita. Panel mengatakan wanita tidak boleh memperkasakan dirinya jika dia cuba menjadi orang lain yang tidak sesuai dengan karektarnya terutama kerana dunia. Panel menyeru supaya wanita membebaskan diri sendiri terlebih dahulu, ikutlah tujuan hidup yang betul dan cara untuk mencapai redha Allah boleh jadi pelbagai mengikut karektar kita, mengikut potensi yang Allah berikan dan mengikut kecenderungan diri kita. Tidak perlu cuba untuk menjadi orang lain, kalau dengan menjadi diri sendiri kita boleh mencapai tujuan tersebut. Sebab itu, cara pertama untuk memperkasakan diri adalah mengikut Al-quran dan Sunnah.

Amalan kedua yang panel kongsikan kepada semua ialah mengamalkan zikir Fatimah. Zikir Fatimah yang dimaksudkan ialah Allahuakhbar 34kali, Alhamdulillah 33kali dan Subhanallah 33kali mencukupkan 100kali. Zikir ini amat baik diamalkan kerana zikir ini boleh membuatkan hati kita menjadi redha & tenang dengan segala musibah atau pun kesulitan yang kita alami serta memberikan kekuatan dari sudut kerohanian untuk kita terus tabah dan terus menghadapi kehidupan walaupun dalam keadaan yang susah. Panel menyatakan jika hati kita tenang, insyaAllah semuanya akan menjadi mudah. Panel menyeru agar kita selalu berdoa kepada allah supaya memohon perbaikanlah urusanku seluruhnya dan janganlah engkau membiarkan aku kepada diri ku sendiri walau untuk sekelip mata. Jangan selalu membandingkan diri kita mahupun cemburu dengan orang lain kerana setiap orang cabarannya berbeza. Panel berpesan, jika hati itu lemah tidak mampu untuk melihat kebahagian orang lain seperti melihat orang lain mendapat hadiah atau pergi bercuti, berhenti untuk melihat kerana itu bukan kewajiban ia sekadar pemberian. Jika pasangan sudah menyediakan keperluan nafkah dengan secukupnya, terimalah seadanya kerana ia bukan kelemahan. Kekuatan hati akann membantu kita dalam memperkasakan diri menjadikan kita lebih baik dalam menghadapi ujian hidup dan ingat sumber atau punca kuasa kekuatan itu adalah daripada zikir, Al-quran serta carilah doa-doa yang boleh kita amalkan secara konsisten.

Selain itu, panel menyarankan agar menjaga perkara yang wajib dan tidak membuat perkara yang Allah murka maka insyaAllah dengan usaha ini kita boleh masuk ke syurga Allah. Inilah pemerkasaan yang sebenar iaitu bila di dunia kita patuh dan taat kepada Allah, di dunia kita mencari redha allah dan di akhirat nanti kita dapat masuk ke syurga. Marilah kita menjaga baik-baik kewajipan dengan Allah, ibu bapa serta keluarga dan jangan senang-senang kita buat perkara yang Allah murka. Akhir sekali, elakkan daripada terlibat dengan perkara yang tidak berkaitan, tinggalkan yang haram dan buat perkara yang wajib dengan bersungguh-sungguh. Kehidupan ini memang penuh dengan ujian. Jangan buat perkara yang Allah murka, insyaAllah hidup kita akan selamat di dunia dan juga akhirat.

 

Share this :