Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru telah menganjurkan Forum Bicara Inspirasi Bersama Tokoh UTM Siri 2 sempena Sambutan 50 Tahun UTM dengan tajuk forum “ Jati Diri : Cabaran dan Peluang Mahasiswa Masa Kini” pada 20 September 2022. Program ini bersiaran langsung menerusi Facebook Perpustakaan UTM dan juga Youtube UTM Library TV.

Program ini dikendalikan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil bin Md Din, Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia selaku moderator dengan menampilkan dua tokoh tersohor UTM iaitu Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ismail bin Abdul Aziz, mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni UTM dan Prof. Dr. Durrishah binti Idrus, Profesor Fakulti Teknologi & Informatik Razak UTM/mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa UTM.

Tajuk forum “Jati Diri : Cabaran dan Peluang Mahasiswa Masa Kini” mengupas serta membincangkan peranan para panel selaku mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa, Universiti Teknologi Malaysia dalam pembangunan jati diri mahasiswa dan cabaran yang dihadapi.

Salah satu ciri penting dalam membina sahsiah mahasiswa adalah pengalaman pembelajaran di kampus itu sendiri. Konsep ‘total campus experience’ di mana kampus sebagai tempat membina diri, membina kematangan, membina sifat-sifat baik, membangunkan ‘generic skills’, keterlibatan mahasiswa dalam sukan sebagai alat perpaduan dan jati diri ternyata melahirkan ramai tokoh-tokoh mahasiswa pada masa itu.

Tagline UTM iaitu ‘innovative, entrepreneurial dan global’ adalah tepat dan sentiasa relevan untuk dijadikan panduan agar sentiasa ‘innovative dan entrepreneurial’ serta berfikiran global – Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ismail bin Abdul Aziz

Pembangunan sahsiah mahasiswa adalah penting bagi memastikan mahasiswa mampu berdikari dan mempunyai jati diri yang tinggi dalam mendepani cabaran. Dengan perubahan dasar kerajaan pada ketika itu dan IPTA disaran untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam pentadbiran universiti. Ini terbukti apabila Majlis Perwakilan Mahasiswa mengurus sepenuhnya pilihan raya kampus dalam membina kematangan berpolitik dan wujudnya ‘speakers corner’ bagi memudahkan para mahasiswa menyuarakan pemikiran serta pendapat mereka melalui saluran rasmi. Selain dari itu, wakil mahasiswa turut dijemput hadir ke Mesyuarat Senat Universiti, jawatankuasa tertinggi universiti dan townhall di kolej-kolej. Panel menyatakan rasa gembira dengan mahasiswa yang aktif dan berfikiran kritis serta mampu memenangi hati orang sekeliling.

‘Be a global talent with the right attitude and skills’ – Prof. Dr. Durrishah binti Idrus

Cabaran menuntut jati diri yang tinggi dari semua mahasiswa tanpa mengira mahasiswa berkenaan dari universiti swasta atau universiti awam. Universiti mendidik mahasiswa untuk menjadi ‘multitasking’ dan bersedia untuk terus belajar serta bersedia untuk bekerja di luar bidang dari yang telah dipelajari di kampus. Pihak Hal Ehwal Pelajar UTM pada ketika itu fokus kepada pembangunan kerjaya mahasiswa di mana mahasiswa perlu bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan bagi memenuhi keperluan industri pada ketika itu. Cabaran pada masa sekarang adalah mahasiswa perlu lebih entrepreneurial, lebih berdikari dan membina keupayaan serta kemahiran. Tagline UTM iaitu ‘innovative, entrepreneurial dan global’ adalah tepat dan sentiasa relevan untuk dijadikan panduan agar sentiasa inovatif dan mempunyai minda keusahawanan serta berfikiran global. UTM mempunyai kerangka yang kukuh dan menekankan bahawa disiplin diri yang tinggi di kalangan mahasiswa. Akhir kata para panel menasihati semua mahasiswa agar sentiasa kuat semangat untuk menyahut cabaran yang mendatang.

Share this :