Bersempena Research Week 2022Sesi Read & Relax anjuran oleh Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama UTM Toastmasters Club  telah menjalankan Program Read & Relax Siri 18/2022 pada 6 Oktober 2022 yang disiarkan secara dalam talian melalui Facebook Perpustakaan UTM serta Youtube UTM Library TV. Panel jemputan pertama Dr. Siti Zaleha Daud merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Alam Bina & Ukur, UTM dan juga moderator kali ini Puan Syaza Soraya Sauli merupakan ahli Toastmasters Club dari UTM, serta panel jemputan kedua Dr. Jamilah Shaari adalah ahli Toastmasters Club dari USM.

Dr. Siti Zaleha Daud mengulas buku bertajuk Penyelidikan Berimpak Mensejahtera Masyarakat

Dr. Siti Zaleha Daud menyatakan buku “Penyelidikan Berimpak Mensejahtera Masyarakat” telah menarik minat beliau untuk membaca buku tersebut apatah lagi dengan perkataan impak dan masyarakat. Menurut beliau setiap penyelidikan yang dijalankan memang memberi impak dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat. Buku ini juga sangat digalakkan untuk semua penyelidik terutama penyelidik muda untuk membacanya kerana gaya penulisan dan gambar di dalam buku ini amat menyeronokkan sehingga kita tidak merasakan proses penyelidikan itu sebenarnya sukar untuk dilaksanakan. Antara penyelidikan yang menarik bagi panel yang terdapat dalam buku tersebut adalah berkaitan projek penyelidikan dalam menghasilkan kerang yang lebih besar dan berkualiti kerana menurut panel kajian ini sangat memberi impak yang besar kepada peniaga khususnya dan masyarakat amnya. Dr. Siti Zaleha Daud juga berpendapat impak sesuatu penyelidikan itu membawa kepada dua maksud di mana yang pertama impak dari segi perkembangan ilmu dan kedua impak dari segi manfaat yang diperolehi dari sesuatu penyelidikan itu sendiri. Sesuatu penyelidikan sememangnya memerlukan komitmen yang tinggi dari pelbagai aspek, oleh itu beliau amat berharap para penyelidik mencari buku-buku yang dapat memberikan mereka inspirasi untuk terus berjuang dalam penyelidikan. Akhir kata dari beliau kepada para penyelidik, teruskan membuat penyelidikan walau sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara mengikut kemampuan diri kerana setiap penyelidikan akan sentiasa memberi impak dan manfaat kepada masyarakat.

Dr. Jamilah Shaari mengulas buku bertajuk “Are University Students Getting Enough Interethnic Communication And Diversity Engagement Experiences? Concerns And Considerations”

“Buku yang baik adalah seperti kawan yang baik”. Kata-kata itu diungkapkan oleh moderator apabila panel kedua Dr. Jamilah Shaari berkongsi kisah dimana saat dia diduga untuk menyiapkan kajiannya, ada sebuah buku yang sangat dekat dihati beliau secara tidak langsung memberikan beliau semangat untuk meneruskan kajiannya. Buku tersebut berjudul “Are University Students Getting Enough Interethnic Communication And Diversity Engagement Experiences? Concerns And Considerations” hasil tulisan Prof. Dr. Ezhar Tamam, seorang figura yang tidak asing dalam kajian yang menengahkan tentang komunikasi antara budaya. Perkongsian hasil dari pembacaan  Dr. Jamilah berkaitan kajian tersebut, komunikasi antara etnik dalam masyarakat pelbagai budaya hari ini yang semakin demokratik adalah penting untuk meningkatkan amalan komunikasi dan hubungan merentasi sempadan etnik, ini kerana ia dapat menyumbang kepada pembangunan sosial dan peribadi. Perkara ini perlu dititik beratkan dikalangan pelajar-pelajar di Universiti dimana sepanjang mereka belajar, mereka perlu untuk belajar, memahami dan menyelami bahasa dan budaya dari negara luar agar rasa saling menghormati antara pelajar yang berlainan bangsa dan etnik dapat di pupuk. Selain itu, Akhir kata, Nasihat Dr. Jamilah kepada para penyelidik supaya membuat sesuatu penyelidikan itu bukan hanya untuk mengisi KPI tetapi buat la kajian yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Manusia yang baik adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.

 

 

Share this :