Program Read & Relax Siri 21 yang diadakan pada 17 November 2022 ini telah disiarkan secara langsung dari Library Lounge Perpustakaan UTM Johor Bahru. Program kali ini telah menampilkan dua orang pengulas iaitu Encik Abd Rahman Md Karim, Pegawai Penilaian Kanan dari Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta Johor Bahru manakala panel yang kedua ialah En Mohd Zulkainain Sarawani yang merupakan Penolong Pegawai Penilaian Kanan, Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta Johor Bahru.

En Abd Rahman Md Karim telah berkongsi bahan bacaan beliau berjudul Laporan Pasaran Harta 2021. Buku ini merupakan terbitan sepenuhnya oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di bawah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara yang dikenali juga sebagai NAPIC (Nasional Property Information Center). Buku ini merupakan laporan yang diterbitkan untuk setiap tahun oleh NAPIC. Ia juga boleh dimuat turun secara percuma di laman web NAPIC. Buku ini memperincikan tentang corak pasaran hartanah berdasarkan tahun ia diterbitkan di mana terdapat beberapa info seperti tranksaksi harta tanah bernilai RM1 Juta, RM10 Juta dan ke atas, tanah ladang, harga sewaan bangunan di bangunan sewaan khas, indeks sewaan kompleks membeli-belah dan banyak lagi.

Semua isi kandungan yang terdapat dalam buku Laporan Pasaran Harta 2021 ini adalah amat penting untuk mereka yang bergiat secara aktif di dalam urusniaga hartanah. Ia turut memuatkan maklumat yang lengkap dan tepat berkenaan dengan Bahagian Pasaran Hartanah, Bahagian Inventori Hartanah dan Bahagian Indeks Hartanah.

Panel kedua iaitu En. Mohd Zulkainain Sarawani telah berkongsi bahan bacaan yang bertajuk “Fire Your Gym!”. Pengarang buku ini adalah Andy Petranek, dan Roy M. Wallack. Andy Petranek, merupakan pengasas kepada salah satu gym CrossFit yang paling berjaya di dunia, dan kolumnis kecergasan Los Angeles iaitu Times Roy M. Wallack telah mencipta program senaman berasaskan sains yang unik di mana ia menggabungkan latihan kekuatan intensiti tinggi, selang waktu dan kardio pemulihan intensiti rendah. Ia merupakan cara yang dibuktikan berkesan kepada tubuh badan dan untuk  mendapatkan hasil yang terbaik. Pembaca akan menemukan banyak panduan yang mencabar, mengujakan, menjimatkan masa, serta menyeronokkan. Apa yang membuatkan buku ini istimewa ialah kaedah senaman yang sering dikaitkan dengan situasi di gym yang lengkap dengan alatannya namun boleh dilakukan di rumah kita sendiri. Pembaca yang memiliki masa yang terhad untuk bersenam sewajarnya mendapatkan buku ini sebagai rujukan untuk melaksanakan aktiviti senaman atau ‘workout’ di rumah.

Share this :