Pada 15 Disember 2022, Perpustakaan UTM KL telah mengadakan Program BookSharing@UTMKL 2022 bagi Siri 16 dan merupakan siri yang terakhir sebelum tahun 2022 melabuhkan tirainya. Sesi kali ini telah menjemput Pn. Norizah Binti Aziz dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM Kuala Lumpur untuk berkongsi bahan bacaan pilihannya kepada para penonton yang berjudul ‘The Miracle of Sleep’ hasil karya Dr. Saraiza Abu Bakar.
The Miracle of Sleep mendedahkan kepada pembaca tentang ‘keajaiban’ tidur kepada tubuh badan manusia. Kita semua telah sedia maklum bahawa tidur adalah satu keadaan apabila tubuh badan dan minda berada dalam keadaan terhenti seketika secara semulajadi. Pada saat itu, sistem saraf menjadi tidak aktif, otot menjadi lebih relaks dan minda tidak menyedari keadaan sekitar. Di samping itu, buku ini turut menerangkan bahawa setiap peringkat umur mempunyai waktu tidur yang berbeza sama ada bayi, kanak-kanak, orang dewasa dan juga warga tua.
Di samping menekankan tentang kepentingan tidur, buku ini turut menyatakan bahawa tidur yang sempurna dapat mengurangkan risiko penyakit kronik, mengawal kesakitan, dan otak menjadi segar. Sekiranya kekurangan tidur, ia akan mengakibatkan seseorang itu sentiasa letih, kerap mengantuk dan mudah marah selain menyumbang kepada masalah kesihatan seperti penglihatan, kencing manis, penyakit kardiovaskular, risiko tekanan darah tinggi dan juga microsleep.
Selain daripada menerangkan tentang kelebihan tidur, buku ini turut menceritakan tentang penyakit berkaitan tidur seperti insomnia dan tidur berdengkur. Bagi penghidap insomnia, kesukaran tidur yang berlanjutan akan menjejaskan kehidupan seharian. Insomnia turut memberi kesan kepada kecergasan badan dan keseimbangan mental. Masalah lain ialah tidur berdengkur. Jika tidak dirawat, ia akan mendatangkan bahaya kepada kita di mana kita akan mengalami ‘sleep apnea’ di mana ia berkaitan dengan pernafasan melalui jalan sempit untuk sampai ke paru-paru. Hal ini boleh menyebabkan kekurangan oksigen sampai ke otak. Beberapa jenis masalah tidur yang lain adalah seperti Hypersomnolence dan Microsleep yang kebiasaannya berlaku kepada pemandu.
Kesimpulannya, tidur itu dianggap sebagai rehat daripada melakukan sebarang aktiviti di samping ia adalah keperluan untuk tubuh kekal berfungsi sempurna. Oleh itu, tidur yang cukup amat penting dan ia merupakan salah satu elemen penting dalam penjagaan kesihatan.