Program Read & Relax Siri ke-2 tahun 2023 anjuran Perpustakaan UTM telah diadakan di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah pada 19 Januari 2023 dan ditayangkan secara dalam talian melalui Facebook dan juga Youtube Perpustakaan UTM. Moderator adalah Encik Mohd Admin Sadali manakala dua orang panel pengulas jemputan adalah Cik Tuan Syahirah Tuan Abdul Rahman dan Puan Nur Fatin Mohamed.

Hasil nukilan dua orang pengarang buku bertajuk “Pendiam” telah menarik minat panel pertama iaitu Cik Tuan Syahirah Tuan Abdul Rahman. Buku ini  membawa kita ke dunia Introvert iaitu orang yang bersifat suka memendam rasa dan menumpukan perhatian pada dirinya sendiri, tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar. Buku ini mengajar kita agar golongan introvert tidak lagi dipinggirkan. Golongan ini adalah golongan yang tidak banyak bercakap, namun ia bukan kerana mereka tidak yakin. Mereka adalah golongan yang lebih selesa untuk bercakap atau berkongsi pandangan hanya mengikut keperluan. Buku ini turut menjelaskan bahawasanya introvert perlu tahu mereka bukanlah individu yang tidak dapat menyumbang kepada masyarakat dan extrovert pula bukanlah golongan yang tidak memerlukan waktu untuk bersendirian dan berdiam. Selalunya, golongan ekstrovert adalah lebih menonjol jika dibandingkan dengan golongan introvert. Setiap perbezaan jika diraikan dengan  baik pasti mampu menemui titik temu. Buat golongan ekstrovert juga boleh membacanya jika mahu mengenali lebih dekat si Introvert.

 

Pengulas kedua iaitu Puan Nur Fatin Mohamed telah memilih buku berjudul “ You Are Loved”. Buku ini mempunyai 21 bab yang memberi motivasi kepada sesiapa yang membacanya. Buku ini memberi tumpuan kepada cara memupuk jiwa manusia masakini yang semakin hilang rasa kasih sayang pada diri sendiri. Buku ini turut menerangkan bagaimana untuk kita sayangi diri sendiri terlebih dahulu terutamanya dari dalam iaitu rohani diri. Rasa syukur adalah kunci untuk segala rasa kecukupan dalam diri dan kehidupan.  Pengalaman penulis buku ini sebagai seorang kaunselor dikongsikan melalui penceritaan kisah-kisah yang pernah dihadapinya sendiri dan beliau dapat melihat bahawa dengan kasih sayang, sekeras-keras jiwa juga boleh menjadi lembut dan bersedia untuk hidup dengan aman dan bahagia.

Pengulas menyatakan bahawa pengajaran yang diperolehnya daripada pembacaan buku ini ialah setiap individu itu istimewa, walaupun orang tidak nampak keistimewaan yang kita miliki, cukup diri kita sendiri merasainya dan Tuhan mengetahuinya.

Share this :