Program Dekad Membaca Kebangsaan 2023 `Jom Baca Bersama 10 Minit‘ telah diadakan secara serentak di seluruh Malaysia pada 18 Mei 2023, jam 11 pagi. Program ini mendapat sambutan hangat dari jabatan-jabatan lain termasuk staf dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTMKL setelah promosi ini diuar-uarkan sejak awal lagi untuk menggalakkan komuniti UTM khasnya budaya cintakan buku dan ilmu.
Perpustakaan UTMKL sebagai pusat sehenti pengajaran dan pembelajaran, telah mengadakan inisiatif dengan mengadakan tayangan montaj perdana secara eksklusif kepada staf Perpustakaan UTMKL. Siaran ini turut ditayangkan serentak di dalam media sosial Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan Youtube UTM Library TV untuk tontonan umum dalam merancakkan lagi program tahunan ini yang membawa tema `Baca Bina Insan‘.
Program seterusnya adalah acara pembukaan oleh Jabatan Perpustakaan UTM dan dilanjutkan dengan sesi bacaan serentak selama 10 minit yang bermula pada jam 11 pagi yang bertujuan untuk mendorong dan meneruskan kelestarian budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tahniah kepada semua yang memberi komitmen dalam menjayakan program `Jom Baca Bersama 10 Minit‘ ini. Semoga program ini memberi langkah awal dalam mendidik minat suka membaca dan sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan.