Usaha Perpustakaan UTM, Persatuan Pustakawan Kumpulan Selatan (PPMKS) dan Prof. Dr. Maketab Mohamed menyantuni pelajar Orang Asli diteruskan lagi pada tahun 2023. Sebanyak 100 naskhah bahan bacaan telah disumbangkan bagi memenuhi keperluan kelas khas Chup Badui Sikulah bagi pelajar Orang Asli Mahmeri di Pulau Ketam, Selangor.

Buku sumbangan telah disampaikan kepada Cikgu Suzilla Wati anak Bronson di SJKC Hwa Lien, Pulau Ketam, Selangor selaku wakil guru kelas khas Chup Badui Sikulah. Bahan bacaan ringan yang disumbangkan merangkumi pelbagai kategori yang bersesuaian untuk kanak-kanak seperti kisah tauladan, asas pendidikan sains, penjagaan diri, fiksyen kanak-kanak, motivasi, dan sukan.

Objektif utama adalah untuk mempelbagaikan koleksi-koleksi bacaan bagi membantu guru kelas khas Chup Badui Sikulah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca dalam kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya kanak-kanak disamping menanam rasa minat membaca dari awal usia.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut mengenai sumbangan buku bagi program khidmat masyarakat Perpustakaan UTM boleh hubungi Pn Liza Porijo, Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM melalui emel liza@utm.my

Share this :