Pada 10 Ogos 2023, Perpustakaan Sultanah Zanariah (UTM JB) telah melaksanakan Program Gotong-Royong bagi siri ke-2 bagi tahun 2023. Aktiviti ini merupakan salah satu amalan penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan mengikut jadual yang telah dirancang sejajar dengan objektif kualiti perpustakaan yang berteraskan kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Aktiviti ini melibatkan semua staf Perpustakaan Sultanah Zanariah di semua bahagian, termasuk staf yang bertugas pada sesi petang.

Sebelum aktiviti dimulai, sesi taklimat ringkas telah disampaikan oleh setiap ketua kumpulan kepada staf di bawah seliaan masing-masing. Hal ini bertujuan bagi memudahkan proses pembahagian tugas kerja-kerja pembersihan.

Aktiviti gotong-royong kali ini melibatkan beberapa kawasan dan ruang utama bangunan Perpustakaan yang terdiri daripada Ruang Bacaan Am, Bilik Perbincangan, Bilik Karel, Surau Wanita, Bilik Jamuan, Pantri, ruang meja komputer pengguna dan Makmal Pencarian Maklumat. Kerja-kerja pembersihan termasuklah menyapu, mengelap meja, membersihkan karpet di Ruang Interaktif, mengelap tingkas dan membersihkan habuk serta debu di rak-rak bacaan.

Aktiviti gotong–royong ini selesai dilaksanakan pada jam 1.00 petang. Pengurusan Perpustakaan UTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua staf Perpustakaan Sultanah Zanariah di atas penglibatan dan komitmen yang diberikan sepanjang aktiviti berjalan sehingga selesai.

Share this :