Sinergi di antara Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan Perpustakaan Universitas Negeri Malang, Indonesia telah menyaksikan berlangsungnya sebuah program K-Sharing bertajuk Bicara Tokoh Dua Negara Hamka dan Zaaba : Analisis Karya dan Pemikiran pada 12 September 2023 (Selasa) secara dalam talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM.

Panel jemputan dari tanah seberang adalah Profesor Dr. Yuni Pratiwi, dari Fakultas Sastra, Universitas Negeri Malang, Indonesia dan Profesor Madya Dr. Mohd Azhar bin Abdul Hamid dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia. Manakala moderator bagi program ini ialah Dr. Zulkifli Bin Hamisan@Khair, yang juga dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Profesor Dr. Yuni Pratiwi memulakan sesi perkongsian dengan membicarakan tentang tokoh agamawan yang sangat popular di Indonesia bahkan Malaysia iaitu Almarhum Hamka atau sering dirujuk sebagai Buya Hamka. Antara karyanya yang popular termasuklah sebuah novel bertajuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka dilahirkan di Minangkabau, Sumatera Barat pada 17 Februari 1908. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Maninjau sebelum melanjutkan pengajiannya di Thawalib (sekolah fardhu ain), Kehidupan remajanya yang bergelumang dengan ilmu agama, falsafah, sejarah dan sastera menjadikan beliau seorang yang disegani atas ketinggian ilmunya. Beliau juga merupakan pengasas Kolej al-Muballighin yang melatih pendakwah, khususnya dalam bidang penulisan dan penerbitan majalah ilmu.

Merujuk khusus kepada novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, karya tulisan Hamka ini telah banyak memberi inspirasi dan sudut pandangannya mengenai adat, budaya masyarakatnya dan amalan agama yang diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat. Secara tidak langsung, karyanya berupaya mengajak pembaca untuk berfikir dan menghayati tiga (3) aspek tersebut yang menjadi kitaran dalam kehidupan. Profesor Dr. Yuni Pratiwi menganggap Buya Hamka menggunakan karya sastera sebagai sumber pengetahuan berlandaskan falsafah kehidupan manusia di dalam kehidupan beragama, budaya dalam masyarakat dan bangsa.

Perkongsian seterusnya adalah dari Profesor Madya Dr Azhar bin Abd Hamid yang telah menerangkan serba sedikit mengenai latar belakang Zaaba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad yang dilahirkan di Jempol, Negeri Sembilan pada 16 September 1895. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang diangkat sebagai pendeta bahasa di atas jasa bakti sumbangan beliau dalam bidang penulisan Bahasa Melayu. Beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Linggi dan seterusnya di Institusi St. Paul, Seremban.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di English College, Johor Bahru dan pada tahun 1953 sebelum melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda Sastera di University of London. PM Dr. Azhar Bin Abd Hamid turut menyatakan bahawa sumbangan utama Za’aba adalah daripada pemikiran beliau terutamanya dalam memartabatkan bahasa Melayu. Beberapa hasil penulisan buku beliau adalah mengenai penulisan bahasa Melayu yang memberi impak perubahan luar biasa di mana tulisan beliau menjadi rujukan utama dalam pemodenan bidang persuratan Melayu.

Share this :