Pada 16 November 2023, telah diadakan satu Program K-Sharing bertajuk “MENGEMBARA BERSAMA SASTERAWAN NEGARA: MENCARI SEMPADAN BUDAYA” yang berlangsung dari jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari. Program yang cukup istimewa ini diadakan secara fizikal di bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru dan turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel jemputan khas program ini adalah merupakan tokoh yang amat disegani dan merupakan Sasterawan Negara iaitu Yang Berbahagia Prof. Emeritus Dr. Mohammad bin Hj. Salleh. Moderator pada kali ini adalah Dr. Hajah Maskiah Masrom, Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Sedikit latar belakang panel – Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Mohammad bin Hj. Salleh dilahirkan pada 26 Mac 1942 di Taiping, Perak. Beliau merupakan salah seorang penulis mapan Malaysia yang telah dianugerahi gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1991. Puisi yang ditulis beliau sering merujuk kepada mitos dan legenda tradisi lisan Melayu, di mana genrenya adalah pelbagai. Sebagai seorang penyair dan juga ahli akademik, beliau telah menghasilkan sebanyak 15 koleksi puisi, 5 buah antologi sastera Malaysia dan 12 buku kritikan teori sastera dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Hasil daripada penulisannya, beliau telah memenangi Anugerah Penulis S.E.A. pada tahun 1997. Seterusnya, pada tahun 2008, beliau dinobat sebagai Tokoh Akademik Negara. Beliau juga pernah menjadi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1978-1982) dan banyak menterjemah puisi berbahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Selain itu, beliau turut menjadi sidang editor jurnal Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara.

Dalam program kali ini, beliau telah berkongsi pengalaman beliau menjelajah ke negara-negara seperti Turki, Brunei, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada dan Peru bagi mempelajari dan mendalami karya-karya sastera yang dihasilkan oleh penulis di negara berkenaan. Melalui penjelajahannya ke serata negara, beliau telah menghasilkan banyak sajak dan syair berkenaan orang yang ditemuinya. Beliau turut memberi dorongan kepada generasi muda untuk menjelajah ke negara luar supaya keindahan dan kekayaan ilmu dari negara lain dapat kita dalami dan disesuaikan dalam penulisan. 

Selepas selesai sesi perkongsian ilmu daripada panel jemputan, hadirin dipersembahkan dengan persembahan mini teater yang cukup menarik.

Kesimpulannya, pengalaman dan ilmu yang dikongsikan pasti memberi impak yang positif kepada para peserta untuk menambah ilmu mereka dalam bidang kesusasteraan dan lebih menghargai keindahan karya sastera yang kita miliki.

Laporan disediakan oleh: 

Nurhanis Maisarah Abdul Mutalib, Pelajar Latihan Industri UiTM Rembau..

Share this :