Tarikh 9 November 2023 (Khamis), telah berlangsungnya Majlis Perasmian Serambi Ilmu Rakyat (S.I.R) Corner, Penyerahan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat dan penyampaian hadiah kepada para pemenang Research Canvas Competition 2023 yang berlangsung di ruang lobi Perpustakaan Sultanah Zanariah.

Serambi Ilmu Rakyat (S.I.R.) Corner adalah sinergi bersama Bank Rakyat dengan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan, termasuk Universiti Teknologi Malaysia. Perpustakaan UTM diberi penghormatan untuk menyediakan tempat bagi sudut ini untuk kegunaan semua pelajar. S.I.R Corner menyediakan akses pangkalan data yang membolehkan para penggunanya merujuk pelbagai jenis e-book dan bahan rujukan lain secara dalam talian.

Ia dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat merangkap Pemangku Pengerusi Bank Rakyat dan Yang Berusaha Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor (HEPA).

Jabatan Perpustakaan UTM telah menerima sumbangan  daripada Yayasan Bank Rakyat yang berbentuk 1 set kelengkapan untuk S.I.R Corner termasuk 2 unit kerusi, 2 unit komputer dan 50 id digital@keahlian SIR dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM15,000.00

Seterusnya, majlis perasmian diteruskan dengan sesi penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, kepada pelajar- pelajar B40 Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Hanya pelajar-pelajar yang memenuhi kriteria sahaja yang dipilih oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UTM untuk menerima bantuan daripada Yayasan Bank Rakyat ini. Bantuan sebanyak RM 100,000.00 ini disalurkan kepada 100 orang pelajar yang layak dan berjumlah Rm 1,000.00 untuk setiap seorang dan bantuan tersebut akan dimasukan ke dalam akaun bank pelajar secara one-off.

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang Research Canvas Competition 2023. Terdapat beberapa kategori pemenang iaitu ketegori fakulti yang memenangi kategori Penyertaan Paling Aktif dan kategori saguhati seramai 7 orang penerima. Manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang Monitor Philips Vline 24 inch, pemenang tempat kedua membawa pulang Galaxy Tab A7 Lite dan pemenang tempat pertama membawa pulang set Laptop Huawei Matebook D15.

Setelah majlis selesai, para tetamu kehormat telah dibawa melawat ke ruangan S.I.R Corner yang terletak di Aras 3, Perpustakaan Sultanah Zanariah dan juga pameran Research Canvas yang terletak di lokasi yang sama.

Share this :