Pada 5 Disember 2023 (Selasa), telah berlangsung dengan jayanya Program Bicara Karya di Reruai MAPIM, Pentas Republika sempena Selangor International Book Fair 2023 (SIBF 2023). Program ini dianjurkan oleh UTM Press sinergi bersama Perpustakaan UTM. Acara ini dimeriahkan dengan kehadiran Puan Siti Salamah Mohd Shihab sebagai pengarang dan jemputan khas dari YBhg Datuk Dr. Lim Swee Tin. Puan Khairul Bahiyah Yaakub, selaku moderator, menjayakan sesi ini dengan penuh interaktif.

Buku yang menjadi tumpuan perbincangan bagi sesi ini, Himpunan Puisi Menelusuri Memori, mengisahkan tentang keindahan memori penulis melalui bentuk syair dan puisi. Para panel dengan penuh semangat menekankan pelbagai mesej dalam karya ini, sambil menitikberatkan kepentingan Bahasa Melayu. Menurut Datuk Dr. Lim Swee Tin, bangsa Melayu merupakan satu-satunya bangsa yang mempunyai pantun. Pantun merupakan satu bentuk puisi tradisional Melayu yang terdiri dari empat (4) baris. Setiap baris memiliki pola irama dan rima tertentu. Pantun biasanya digunakan untuk menyampaikan pesanan, ekspresi perasaan, atau menyelipkan nasihat dengan cara yang puitis.

Pada penghujung program, penonton dapat menyaksikan dan memperdengarkan Puan Siti Salamah membacakan syair bertajuk Wira Bangsa. Syair ini didedikasikan khas kepada Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin bin Abdul Wahid, mantan Naib Canselor UTM yang pertama. Ia merupakan simbolik tanda penghormatan, dan juga satu penghargaan yang penuh emosi kepada seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada institusi ini.

Terima kasih kepada semua yang menyertai acara ini, semoga karya-karya ini terus mengukir sejarah dan memberi inspirasi kepada generasi seterusnya serta meningkatkan kesedaran terhadap keindahan bahasa Melayu.

Share this :