4 DISEMBER 2023, ISNIN – Program K-Sharing bertajuk “I-Wonder-Bin Juara Inovasi Baja Kompos” telah diadakan di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Perpustakaan UTM Johor Bahru. Bertempat di Ruang Lestari, Aras 3, program ini berlangsung secara fizikal di mana ia melibatkan warga UTM dan juga para pelajar dari SMK Kota Masai 2. Di samping itu, program ini turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook Perpustakaan UTM dan Youtube UTM Library TV. Panel jemputan terdiri daripada Ketua Kumpulan I- Wonder-Bin, adik Nurain Najihah Sulaiman dari SMK Kota Masai 2 dan panel kedua adalah Puan Rahayu Abdul Rahman, Guru Inovasi & Fizik SMK Kota Masai 2. Manakala moderator pada sesi kali ini ialah Dr. Huszalina Hussin, Pensyarah Kanan, Jabatan Biosains Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia.

Program yang berjalan selama satu (1) jam ini menyaksikan perkongsian pengalaman oleh panel jemputan mengenai perjalanan kumpulan I-Wonder Bin dalam menghasilkan produk inovasi yang diiktiraf di peringkat kebangsaan sehingga ke luar negara melalui pertandingan yang disertai. Usaha ini mendapat sokongan dan dorongan dari pihak sekolah dan organisasi luar seperti Universiti Teknologi Malaysia dan Syarikat Idayu Engineering. Menurut adik Nurain Najihah, cetusan idea asal tong baja automatik ini adalah daripada Guru Inovasi di sekolahnya iaitu Encik Rusman Aini.

Bilangan pelajar melebihi tiga ribu orang bagi sesi pagi dan petang di SMK Kota Masai 2 telah menyumbang kepada sisa-sisa makanan yang dibuang di kawasan pembuangan sampah sekolah. Situasi ini memberikan ilham kepada kumpulan I-Wonder Bin untuk menghasilkan tong baja automatik bagi menguruskan sisa makanan dan menjadikan ia sebagai baja kompos.

Antara cabaran yang dihadapi oleh kumpulan I-Wonder Bin ialah untuk mencari dana bagi menyertai setiap pertandingan kerana terdapat beberapa kos yang perlu mereka biayai antaranya penyediaan bahan, penyelengaraan bahan, pengangkutan dan penginapan. Selain itu, adik Nurain Najihah turut menyatakan cabaran lain ialah perselisihan pendapat dalam kalangan ahli kumpulan bagi mengadakan persembahan dalam pertandingan yang disertai. Namun begitu, setiap ahli kumpulan mengambil dari sudut positif dan ia merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kemahiran insaniah bagi melahirkan pemimpin yang berwibawa.

Puan Rahayu Abdul Rahman turut berkongsi pengalaman dalam memberi bimbingan kepada kumpulan I-Wonder Bin sehingga mampu menjadi juara. Beliau juga menjemput untuk like dan share Facebook dan Youtube SMK Kota Masai 2 bagi mengikuti perkembangan semasa Kumpulan I-Wonder Bin. Perkongsian ini diharap dapat memberikan inspirasi inovasi kepada sekolah-sekolah yang lain sekaligus dapat membentuk pelapis perekacipta berkebolehan di dalam negara kita.

Share this :