Program Read & Relax Siri ke-2 tahun 2023 anjuran Perpustakaan UTM Kampus Pagoh telah diadakan pada 23 November 2023 (Rabu) dan ditayangkan secara langsung melalui Facebook UTM Kampus Pagoh. Program yang berlangsung selama satu (1) jam ini diadakan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan staf dan pelajar UTM. Moderator program pada kali ini adalah Encik Muhammad Hazim bin Yusof, Pustakawan UTM Kampus Pagoh, manakala dua (2) orang panel pengulas jemputan adalah Cik Nur Syazwani binti Daud dan Cik Aina Nabilah Faizah binti Ahmad Bustamam yang mana kedua-duanya merupakan pelajar dari UTM Kampus Pagoh.

Program dimulakan dengan pengenalan tajuk buku oleh para panel. Panel pertama Cik Nur Syazwani binti Daud memilih buku yang bertajuk “Iman Membangkitkan Kekuatan Terpendam” ditulis oleh Dr. Taufiq al-Waie. Buku ini merupakan pemberian daripada sahabat beliau. Sahabatnya telah berkongsi satu bahagian dari buku tersebut tentang bagaimana kekuatan iman mampu membuatkan seseorang menjadi hebat. Bermula dari situ, beliau berminat untuk membaca dengan lebih lanjut isi kandungan buku tersebut. Seterusnya, panel kedua, Cik Aina Nabilah Faizah binti Ahmad Bustamam dengan buku pilihannya “Seni Berfikir yang Hilang” ditulis oleh Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil. Beliau telah membeli buku ini bagi mengisi waktu terluang sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP). Beliau membuat keputusan untuk membeli buku itu setelah melihat posting Ustaz Hasrizal mempromosikan buku tersebut di sosial media.

Panel pertama iaitu Cik Nur Syazwani mengulas lebih lanjut berkenaan buku pilihannya “Iman Membangkitkan Kekuatan Terpendam”. Buku yang mempunyai 10 bab ini adalah berkenaan sejarah Islam seperti fasa kejatuhan dan kebangkitan Islam, tips, faktor, contoh dan kisah menarik tentang orang berjaya. Bab yang paling digemari panel ialah bab satu iaitu berkenaan iman dan ledakan potensi. Bagaimana iman boleh meledakkan potensi seseorang? Panel berkata bahawa kita selalu berfikir bahawa kita kuat disebabkan fizikal, kebendaan, duit, kepandaian, pangkat, kepintaran tetapi sebenarnya kita kuat apabila kita mempunyai tekad dan iman yang sangat kuat dalam diri. Panel juga telah berkongsi sepatah ayat dari buku tersebut iaitu “semua kekuatan itu ada dalam dirimu, carilah dia di dalam jiwamu dan respondlah kehendak hatimu”. Panel telah menganalisis maksud ayat tersebut bahawa kita tidak perlu menunjuk untuk membuktikan bahawa diri kita bagus, dalam buku itu menyatakan bahawa kekuatan iman tu datangnya apabila kita selalu me time dengan Allah. Beliau mengesyorkan untuk membaca buku ini kerana rujukan buku ini kebanyakkannya daripada Al-Quran. Sebenarnya banyak kisah daripada Al-Quran yang berkait dengan diri kita dan dari situ baru kita sedar mengapa semua perkara berlaku.

Panel kedua, Cik Aina Nabilah Faizah binti Ahmad Bustamam mengulas buku bertajuk “Seni Berfikir yang Hilang” penulisan Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil. Buku ini merupakan buku sekunder iaitu ringkasan yang diambil daripada buku nukilan Sheikh Professor Dr. Yusuf al-Qardawi. Ustaz Hasrizal telah meringkaskan dan menulis semula buku dalam bentuk bahasa yang lebih mudah difahami oleh pembaca. Dalam buku ini telah dijelaskan bahawa terdapat enam (6) bidang yang perlu diketahui oleh manusia. Antara ilmu yang perlu diketahui ialah ilmu agama, sejarah, sastera dan bahasa, ilmu kemanusiaan, ilmu sains, dan ilmu hal ehwal semasa. Beliau telah berkata kita tidak boleh memandang sesuatu isu itu melalui satu sudut pandangan sahaja. Sebagai contoh berkenaan isu Palestin, masyarakat tidak boleh melihat daripada sudut kesedihan dan kesengsaraan mereka sahaja tapi perlu juga untuk kita mengetahui sejarahnya. Buku ini membolehkan pembaca melihat sesuatu isu itu daripada sudut yang menyeluruh dan bukan hanya mengikut emosi. Dua pertiga daripada isi kandungan buku ini adalah berkenaan ilmu agama kerana ianya teras kepada ilmu-ilmu yang lain. Kita perlu tahu bahawa semua ilmu itu berbalik kepada Allah.

Share this :