Sesi Read & Relax, Siri 11/2023, Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 3 Ogos 2023 (Khamis). Sesi ini menampilkan dua (2) orang pengulas iaitu Puan Ar. Idr. Ts. Noraslinda Abdul Rahman, Pengarah, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia dan Cik Nur’aliea Natasha Md Noor Fauzul, Pelajar Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia. Manakala moderator bagi sesi ini ialah Puan Nas Rashidah Mohd Muztaza, Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM.
Pengulas pertama, Puan Ar. Idr. Ts. Noraslinda Abdul Rahman memilih buku bertajuk “Hunian Yang Menghilang” hasil tulisan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM). Buku ini menerangkan ciri-ciri dan perwatakan rumah adalah berbeza mengikut psikologi pemilik rumah itu sendiri. Menurut pengulas, ciri-ciri yang dimaksudkan adalah rumah insan marhaen, rumah agamawan, rumah puri hartawan, villa pentadbir dan juga mahligai bangsawan. Pengulas juga menyatakan bahawa buku ini mengandungi informasi mengenai warisan teknologi manusia dari zaman dahulu, yang telah di transkripkan ke dalam bentuk buku dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami oleh semua peringkat umur. Tambahnya lagi, warisan bukan hanya benda yang ditinggalkan ketika seseorang pergi, tetapi juga melibatkan warisan yang seseorang berikan yang dapat memberikan dampak dan kontribusi yang berterusan.
Manakala pengulas kedua iaitu Cik Nur’aliea Natasha Md Noor Fauzul mengulas buku bertajuk “Glow Inside & Out” oleh Auni Baharin. Pengulas ini berpendapat bahawa buku tersebut adalah sumber rujukan dan panduan yang sesuai untuk mengatasi masalah kesihatan mental di kalangan umat Islam. Ia memfokuskan 10 langkah bagi mencapai kembali kebahagiaan emosi. Buku ini boleh dijadikan sebagai panduan yang memberi jalan dan ruang kepada generasi Muslim, tanpa mengira peringkat umur, untuk meneroka emosi mereka melalui panduan dan langkah-langkah yang disediakan untuk meremajakan kebahagiaan dan menyuburkan rohani yang ada dalam diri setiap individu.