Tahun 2023 telah menyaksikan Program K-Sharing anjuran Jabatan Perpustakaan UTM merupakan penutup tirai 2023 dengan topik berkaitan pergolakan yang berlaku di Palestin iaitu “Akar Konflik Palestin & Israel: Kupasan dari sudut Geopolitik & Agama” yang berlangsung pada 19 Disember 2023 (Selasa) secara dalam talian dan disiarkan secara langsung di Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel jemputan bagi program ini ialah Profesor Dr. Kamaruzaman Yusof dari Fakulti Sains Sosial, Universiti Melaka manakala moderator bagi program ini adalah Dr. Zulkifli Khair dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Di awal perkongsian, panel menerangkan mengenai geopolitik Palestin dari sejarah keturunan para al-Anbiya, agama, kitab dan penyelewengan bagi menelusuri punca akar konflik yang berlaku. Menurut panel, gerakan zionis Israel telah menjajah secara rasmi bermula sejak dari 14 Mei 1948 dan berterusan sehingga kini. Ada pihak yang menyatakan peperangan di Palestin yang tercetus pada 7 Oktober 2023 adalah berpunca dari pejuang Palestin. Panel menyatakan peperangan itu merupakan kali pertama tentera Mujahiddin yang terdiri dari enam (6) kelompok di tanah Gaza keluar dan mereka cuba menguasai kawasan yang ada diluar daripada pengepungan kawasan Gaza itu. Kebanyakan peperangan sebelum ini banyak dimulakan oleh Israel tetapi orang tidak sedar bahawa mereka adalah penjajah. Panel turut melahirkan harapan supaya orang ramai banyak membaca dan mendalami sejarah peperangan di Palestin dan penindasan yang dilakukan termasuk isu kemanusiaan kerana ramai yang telah terkorban akibat pergolakan ini.

Pada pandangan panel, peperangan di Palestin boleh dihentikan sekiranya perkara berikut berjaya diselesaikan. Antaranya ialah berkaitan hak yang diberikan Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) kepada rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka, kedudukan Kota Jerusalem ataupun Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis dan isu berkaitan tembok pemisah dimana tembok ini menjadi penghalang kepada rakyat Palestin untuk mendapatkan hak asasi mereka untuk bebas bergerak, bekerja dan lain-lain aktiviti dalam menjalani kehidupan seharian.

Banyak lagi perkara menarik yang dikupas dalam program kali ini seperti tentera HAMAS, perjanjian yang telah dikhianati, peranan negara-negara Arab yang tidak memberi bantuan dan harapan rakyat Palestin sekarang. Semoga doa dan usaha membantu serta menyokong perjuangan Palestin yang tidak putus dari seluruh dunia dapat membebaskan Palestin dari kekejaman zionis. Kita sebagai orang Islam, bersama-sama berpegang teguh kepada ayat “Hasbunallah wa Ni`mal Wakil Ni`mal Maula Wani`mannasir” yang bermaksud “Cukuplah bagi kami Allah, sebaik-baiknya pelindung dan sebaik-baiknya penolong kami”.

Share this :