Pada 27 Disember 2023 (Rabu), telah diadakan Program Knowledge Sharing yang bertajuk Menginovasi Penyelesaian, Menyebarluas Pengetahuan dan telah disiarkan secara langsung di Facebook UTM Kampus Pagoh. Penceramah jemputan kali ini ialah Encik Mohd. Nadzreen Hidayat Sarjuni, Pegawai Penyelidik di ICA UTM Kampus Pagoh, Johor. Beliau dan pasukannya merupakan pemenang pingat gangsa dalam Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2023 bagi Alat Penanaman Biji Benih Jagung. Seorang lagi penceramah jemputan ialah Puan Noorshella Mustafa, Penolong Pegawai Pertanian di Pejabat Pertanian Muar, Johor. Puan Noorshella Mustafa dan pasukannya telah memenangi pingat emas dalam Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2023 bagi kategori Video Pengembangan Daerah Inovatif. Program ini telah dikendalikan oleh Encik Muhammad Hazim Yusof, selaku moderator dari UTM Kampus Pagoh.

Sebagai pengenalan, Encik Mohd. Nadzreen merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang Ekologi Tanah & Fisiologi Tumbuhan di ICA UTM Kampus Pagoh. Beliau dan rakan sepasukannya telah mencetuskan idea untuk menghasilkan alat penanaman biji benih jagung yang bertujuan untuk pembangunan. Tambahnya lagi, cadangan inovasi ini telah diambil kira daripada pelbagai aspek termasuk melakukan perbandingan pasaran yang melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan kemahiran yang khusus.

Kajian komponen utama yang mereka telah kaji merangkumi Furrow Opener (buka tanah), Seed Chamber (sistem penghantaran biji benih) dan juga Press Wheel (tutup tanah) dan beberapa komponen untuk penambahbaikan telah disenaraikan seperti Pengira Mekanikal untuk menentukan bilangan biji benih, Odometer, Sistem Klac dan Sistem Penghantaran Lebih Pendek iaitu bagi mengurangkan ralat penanaman. Menurutnya, masalah yang dihadapi adalah kekurangan tenaga kerja kerana staf tidak ramai tetapi mereka mempunyai ladang penyelidikan seluas lebih kurang 20 ekar untuk diusahakan, dan rentetan daripada itulah tercetusnya idea untuk menginovasi penyelesaian kepada faktor utama masalah tersebut.

Program diteruskan dengan perkongsian oleh Puan Noorshella yang telah menerangkan tentang peranan Jabatan Pertanian dalam menjadi ejen pengembangan kepada petani dan nurseri di sekitar Muar yang menjadi tempat rujukan dan panduan sekiranya terdapat sebarang masalah yang berkaitan dengan tanaman yang diusahakan.

Katanya lagi, Hari Inovasi dibuat pada setiap tahun untuk mengetengahkan dan memberi galakan kepada pegawai khasnya untuk memberikan idea-idea yang bernas dan seterusnya dapat memberi khidmat nasihat kepada petani bagi penyelesaian tentang masalah tanaman. Tambahnya lagi, pada tahun ini mereka memilih untuk membuat video agar dapat memberi penerangan dengan lebih jelas bagi para petani mendapatkan maklumat yang tepat.

Antara contoh yang diberikan adalah seperti tanaman durian yang diusahakan oleh Encik Hashim Taib, Ketua Kelompok Durian Melayu Parit Jawa, Muar mempunyai klon-klon atau varieti yang istimewa seperti Musang King, IOI, Duri Hitam dan lain-lain. Sebagai pengusaha tanaman, mereka memerlukan biji benih yang berkualiti demi memastikan produk/hasil tanaman yang dikeluarkan adalah tulen dan berkualiti. Bahagian Kualiti dari Jabatan Pertanian akan memeriksa dan memastikan ianya sah dan tulen supaya tiada aduan dari petani/pembeli.

Beliau berkata, dengan adanya cadangan dan permasalahan yang dihadapi oleh para petani/pengusaha tanaman ini, ia dapat memberikan mereka idea untuk sama-sama membuat inovasi dalam membantu mereka khususnya di dalam sektor pertanian.

Share this :