Lawatan Sambil Belajar SMK Agama Johor ke Perpustakaan UTM | UTM Library News

Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) telah berbesar hati menerima kunjungan lawatan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor (SMKAJ) pada 5 Februari 2024 (Isnin). Seramai 65 orang pelawat beserta enam (6) orang guru pengiring telah menyertai lawatan ini. Lawatan ini dikendalikan oleh Puan Nur Nazurah Nordin selaku Pustakawan bertugas. Para pelawat telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan di mana kumpulan pertama diiringi oleh dua (2) orang petugas iaitu Puan Norsyazwani Mohd Ariffin dan Puan Rohayu Mohamad Hatim. Manakala, kumpulan kedua diiringi oleh dua (2) orang petugas iaitu Puan Siti Norlela Isnin dan Puan Zuraini Zulkiflee. Seterusnya, kumpulan ketiga diiringi oleh dua (2) orang petugas iaitu Encik Azmi Jufri dan Puan Nur Ashilah Abd. Razak.

Sesi lawatan dimulakan dengan kata alu-aluan ringkas mengenai Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) di mana ia telah disampaikan oleh Pustakawan bertugas.

Seterusnya, para pelawat dibawa melawat ke ruang-ruang khusus di PSZ yang sering digunakan oleh mahasiswa seperti Ruang Interaktif di aras 3; di mana ruang ini sering menjadi tumpuan mahasiswa untuk mengulangkaji mahupun menyiapkan tugasan dengan kemudahan akses wifi dan kabel internet untuk penggunaan laptop peribadi. Di samping itu, para pelawat turut dibawa melawat ke ruang Serambi Ilmu Rakyat (S.I.R) di mana ruang tersebut adalah eksklusif untuk akses kepada pangkalan data bagi pelbagai jenis bahan rujukan yang disumbangkan olah Yayasan Bank Rakyat. Para pelawat turut dibawa melawat ke ruangan koleksi peta yang terletak di Ruang Interaktif di mana ia menempatkan ratusan koleksi peta untuk keperluan tugasan dan rujukan mahasiswa mahupun para pensyarah.

Di aras 4 dan 5, para pelawat dapat menyaksikan ribuan koleksi buku-buku rujukan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai subjek, topik mahupun genre bagi pembacaan umum. Di samping itu, para pelawat dapat mempelajari serba sedikit tentang kaedah pencarian bahan di rak serta akses buku yang berbeza mengikut kategori iaitu layanan terbuka dan layanan terhad.

Lawatan diteruskan lagi dengan sesi taklimat di Galerium UTM yang terletak di aras 2. Ia menempatkan koleksi artifak UTM yang pernah digunakan seawal tahun 70-an. Antara artifak yang ditempatkan di Galerium UTM ialah seperti mesin pengimbas, almari kad peminjaman bahan, komputer edisi terawal Apple, projektor tayangan dan lain-lain. Di samping itu, para pelawat turut teruja menyaksikan koleksi artifak konvokesyen yang pernah digunakan ketika majlis konvokesyen di awal penubuhan UTM dahulu. Selain itu, terdapat juga kerusi canselor, potret canselor, koleksi jubah dan lain-lain. Para petugas dari Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi telah memberi penerangan mengenai koleksi artifak ini iaitu Puan Siti Rahidah Radzuan selaku penyelaras, dan dibantu oleh Encik Mohd Faezan Abd Jalil dan juga Puan Amirah Husna Mohd Khairulnisa.

Di akhir sesi lawatan, semua pelawat diminta berkumpul di Bilik Tayangan aras 3 bagi sesi taklimat ringkas dari pihak JPUTM. Taklimat ringkas ini memberi pendedahan kepada pelawat mengenai perpustakaan dan cawangan-cawangannya termasuk Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Perpustakaan Sultanah Zanariah Kuala Lumpur (PSZKL), perpustakaan fakulti dan Hub Pendidikan Tinggi Pagoh. Sesi lawatan ini diakhiri dengan sesi soal jawab ringkas dan pemberian cenderamata dari pihak JPUTM kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Johor.

Semoga segala penerangan yang disampaikan oleh pustakawan dan petugas sepanjang lawatan kali ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang berharga kepada para pelawat sekaligus memberi inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Share this :