Pada 29 Februari 2024 (Khamis), Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menganjurkan Program Read & Relax siri empat (4) dengan membawakan dua (2) orang panel pengulas yang terdiri daripada staf JPUTM, iaitu Puan Nur Atiqah Aris dan dan Puan Nabilah Zainol Abidin. Kedua-dua ahli panel pengulas merupakan Pembantu Pustakawan, JPUTM. Moderator bagi siri ini ialah Puan Nas Rashidah Mohd Muztaza, Pustakawan, JPUTM. Program ini disiarkan secara langsung menerusi platform facebook dan youtube Perpustakaan UTM.

Panel pengulas pertama Puan Nur Atiqah Aris memilih buku bertajuk Otak 1.0 yang ditulis oleh Dr Rizal Abu Bakar. Menurut panel, penyampaian buku ini sangat ringkas dan padat serta mudah difahami oleh semua golongan. Beliau menyatakan buku ini sangat bermanfaat kerana ianya mengulas tentang pemilihan makanan tepat dan berkhasiat yang sesuai dijadikan panduan oleh para ibu bapa bagi menyediakan makanan buat seisi keluarga. Lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak, ini disebabkan pemilihan makanan yang bersesuaian amat penting untuk perkembangan minda dan tumbesaran mereka. Selain itu, buku ini juga memuatkan petua-petua yang berasaskan tumbuhan dan mudah didapati bagi merawat penyakit seperti demam, batuk dan sebagainya. Dalam pada itu, panel menyatakan penulis buku turut menyenaraikan makanan yang wajib di makan atau wajib dielakkan untuk kesihatan minda dan otak.  Walau bagaimanapun pengambilan makanan yang disarankan ini juga perlu seiring dengan melakukan senaman agar badan lebih cergas dan sihat.

Panel pengulas kedua; Puan Nabilah Zainol Abidin telah memilih buku bertajuk Projek Lavender hasil karya Tim Projek Lavender. Menurut panel, buku ini memberi inspirasi dan semangat yang cekal untuk pejuang pesakit kanser. Penceritaan yang sangat menarik penuh dengan emosi, gembira, dan sedih di dalam 22 kisah pesakit kanser pasti dapat menjentik hati kepada sesiapa yang membacanya. Selain itu, panel menyatakan buku ini penuh dengan panduan penting untuk kita memberi sokongan yang sepatutnya kepada pejuang pesakit kanser.


Semoga maklumat dan ilmu yang disampaikan oleh kedua-dua panel pengulas dapat memberi manfaat berguna kepada para penonton yang menyertai program ini. Seterusnya sedikit sebanyak menerapkan nilai-nilai murni yang dapat diperolehi dari kehidupan seharian.

Share this :