Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) sinergi bersama Friends of UTM Library (FOLY) telah menganjurkan program Read & Relax Siri 5 pada 14 Mac 2024 (Khamis), yang bermula pada jam 11.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Program ini disiarkan secara atas talian menerusi laman rasmi Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM.

Panel pengulas terdiri daripada Nik Ihtisyam Majdah Nik Razi, Pelajar PhD dari Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga merupakan ahli FOLY. Panel kedua adalah Ngu Yu Ling, Setiausaha dua (2), FOLY dan merupakan Pelajar Sarjana Muda dari Fakulti Komputeran, UTM. Moderator bagi sesi ini ialah Phavanee Katriya Phon-Amnuaisuk, Pelajar Sarjana Muda Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia yang juga merupakan Bendahari FOLY.


Panel pengulas jemputan pertama telah memilih buku bertajuk Sahaja Aku Memilih Dia hasil karya Tim Man Jadda Wajada Legasi 19. Manakala panel jemputan kedua memlilih buku yang bertajuk Meditations: The New Translation hasil karya Marcus Aurelius.


Sesi ini dimulakan dengan perkongsian dari panel pengulas pertama dimana menurut panel buku ini merupakan satu antalogi daripada 34 orang penulis yang menzahirkan rasa cinta dan perasaan oleh barisan penulis yang mampu menyentuh hati para pembaca untuk menghargai nikmat perhubungan yang dikurniakan Allah SWT. Cinta tidak terhad kepada masa dan jantina. Tercoret dalam helaian buku ini tentang luasnya cinta, disekalikan dengan pengorbanan dan perjuangan mendapatkannya. Hubungan akan menjadi jauh andai mulut sudah sunyi menyebut nama yang hakiki, yakni Allah.

Menurut beliau, buku ini dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada pembaca. Pembaca perlu membuat pilihan buku yang betul seperti pepatah “kerana awak adalah apa yang awak baca” (you are what you read). Selain itu, panel menekankan setiap peristiwa akan berakhir tetapi ingatan dan memori akan kekal selamanya dengan cara menghargai orang-orang disekililing kita kerana kehilangan orang yang terdekat amat memberi kesan yang mendalam dalam hidup kita.


Sesi ini diteruskan dengan perkongisan dari panel pengulas kedua. Menurut panel, buku meditasi ini merupakan satu siri latihan rohani yang penuh dengan kebijaksanaan, bimbingan praktikal, dan pemahaman yang mendalam tentang tingkah laku manusia. Beliau berkata, buku ini mampu membuat pembaca untuk refleks, berfikir dan memberi motivasi bagi meningkatkan kualiti diri dan kehidupan untuk menjadi lebih baik dari semalam dan hari-hari mendatang. Semangat baru yang diperoleh ini dapat menjadikan seseorang individu sentiasa bersikap positif dan fokus dalam mengharungi cabaran hidup.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan aspirasi dan pengetahuan kepada semua penonton yang menyertai program ini. Teruskan menonton program-program anjuran JPUTM melalui facebook dan youtube serta kongsikan pautan siaran langsung program supaya lebih ramai yang memperoleh manfaatnya.

Share this :