23 Mei 2024, Khamis – Program Read & Relax Siri 9 telah diadakan dengan sinergi di antara Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PERTISAS). Program ini berlangsung selama dua (2) jam bermula pada jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, menawarkan sesi yang memperkaya minda dan memberikan ruang relaksasi kepada para penonton.
Panel pengulas bagi sesi ini terdiri daripada dua (2) individu yang berpengalaman dan dihormati, iaitu Encik Masnawi Miskam, Timbalan Pendaftar, Fakulti Komputeran UTM, dan Dr. Mohd Firdaus Akmal Azman, Pengarah, Pusat Kesihatan UTM. Sesi ini dikendalikan oleh Encik Azizul Azman, Pegawai Penyelidik di UTM Research Alliance, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM sebagai moderator. Program ini bersiaran secara langsung di platform Facebook dan YouTube Perpustakaan UTM.
Panel jemputan pertama, Encik Masnawi Miskam, memilih buku bertajuk Bani Produk Sampah: Meh Sini Nak Bagitahu yang ditulis oleh Dr. Rusyainie Ramli. Menurut Encik Masnawi, buku ini mengkritik produk-produk di pasaran yang sering kali menjanjikan manfaat besar dan hasil yang luar biasa, namun hakikatnya ia tidak memberikan apa yang dijanjikan. Buku ini mendorong pembaca untuk lebih cakna dan waspada terhadap produk-produk yang menjanjikan bulan dan bintang. Panduan yang diberikan dalam buku ini membantu pembaca mengenali produk-produk yang mungkin tidak memenuhi syarat penjualan dan bagaimana membuat keputusan pembelian yang lebih bijak.
Buku ini tidak hanya mengungkap realiti di sebalik produk-produk yang mengecewakan tetapi juga memberikan teguran tentang betapa pentingnya kesedaran pengguna terhadap lambakan produk-produk yang tidak diiktiraf oleh kerajaan, terutama yang membabitkan makanan kesihatan. Buku ini juga turut mendorong pembaca untuk selalu melakukan semakan supaya tidak mudah terpengaruh oleh iklan-iklan yang mengelirukan.
Panel pengulas kedua, Dr. Mohd Firdaus Akmal bin Azman mengulas buku bertajuk Cured: The Life-Changing Science of Spontaneous Healing, sebuah buku hasil karya Dr. Jeffrey Rediger. Antara isi kandungan buku ini ialah mengenai fenomena kesembuhan spontan atau penyembuhan tanpa penjelasan perubatan yang jelas. Dr. Rediger, seorang psikiatri dan doktor di Harvard Medical School, telah menyelidik kes-kes di mana pesakit sembuh dari penyakit yang dianggap terminal atau kronik seperti kanser dan penyakit autoimun tanpa campur tangan perubatan konvensional.
Buku ini turut memuatkan kisah-kisah inspirasi tentang pesakit yang mengalami pemulihan luar biasa melalui perubahan gaya hidup, perubahan dalam diet pemakanan, pemikiran positif, dan sokongan sosial. Dr. Mohd Firdaus menyatakan bahawa buku ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk memantau dan menjaga kesihatan fizikal dan mental dengan baik dan berkesan.
Kesimpulannya, meskipun kedua-dua buku ini tidak ditulis oleh orang yang sama, namun kedua-duanya memiliki perkaitan yang unik di mana sebuah buku membiacarakan tentang perlunya kita cakna dan teliti dalam memilih sebarang produk sama ada kecantikan mahupun kesihatan kerana kebanyakan yang diiklankan bersifat overclaim manakala buku yang kedua bercerita tentang pemulihan diri di mana sesetengah penyakit itu tidak memerlukan ubat yang spesifik sebagai rawatan, tetapi cukup dengan perubahan gaya hidup, diet seharian dan pemikiran yang positif.