23 Mei 2024, Khamis – Audit Anugerah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 2023 (AKKP 2023) telah dilaksanakan dengan tujuan untuk menilai tahap pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Anugerah ini juga bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada PTJ yang berjaya menepati kriteria serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh universiti dalam mempertingkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UTM selaras dengan pematuhan kepada perundangan berkaitan.

Pada tahun ini, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru telah terpilih sebagai lokasi bagi melaksanakan sesi audit AKKP 2023 bagi Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM). Audit ini berlangsung pada 23 Mei 2024 dan dipengerusikan oleh Puan Nor Asikin Mohamad selaku Penasihat JKKP JPUTM. Sesi Audit AKKP 2023 ini melibatkan seramai enam (6) orang juruaudit daripada Pejabat OSHE UTM dan 16 orang ahli JKKP Jabatan Perpustakaan UTM.

Proses audit AKKP 2023 di JPUTM melibatkan pemeriksaan hampir keseluruhan Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang meliputi kawasan ruang kerja staf di setiap bahagian atau unit serta ruangan pengguna perpustakaan. Hal ini juga diikuti dengan pemeriksaan dan semakan dokumen serta rekod bagi pengurusan aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan sepanjang tahun 2023.

Hasil penemuan audit AKKP 2023 di bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru memutuskan bahawa terdapat enam (6) Opportunity for Improvement (OFI) dan sifar (0) Non-Conformance Reporting (NCR). JPUTM juga menerima beberapa maklumbalas positif daripada Juruaudit OSHE UTM terutama JPUTM yang mempunyai perancangan tahunan sistematik dalam aktiviti keselamatan dan kesihataan pekerjaan.

JPUTM juga sentiasa memberi kerjasama dalam setiap sesi audit ini kerana ia juga merupakan alat pengukur untuk memastikan ruangan kerja staf dan pengguna dalam keadaan selamat. Melalui audit yang berterusan, JPUTM dapat mengenal pasti dan mengurus risiko dengan lebih baik, memastikan pematuhan terhadap peraturan, dan meningkatkan kesejahteraan pekerja. Dengan komitmen yang berterusan, budaya keselamatan dan kesihatan dapat ditambahbaik dari semasa ke semasa di JPUTM.

Author: MUHAMMAD AZMI BIN KHALIB

Share this :