UTMSPACE telah menganjurkan sebuah program berskala besar iaitu SPACE UTM Edu Fair 2024 yang dijalankan selama dua (2) hari iaitu pada 9 & 10 Jun 2024. Acara yang julung kali diadakan ini telah berlangsung di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid UTM Kuala Lumpur. Majlis perasmian pada 9 Jun 2024, telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE iaitu Prof. Ts. Dr. Nazri bin Ali. Program ini merupakan satu platform yang bukan sahaja untuk pelajar yang akan menduduki SPM dan lepasan SPM, malah ia terbuka bagi yang telah berkerjaya dan ingin melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi. Tawaran pengajian melibatkan sepenuh masa dan juga separuh masa di mana fleksibiliti adalah kelebihan yang sering dicari oleh mereka yang telah berkerjaya.
Di samping reruai dan pameran mengenai peluang pendidikan di peringkat yang lebih tinggi, UTMSPACE turut menjemput pihak Perpustakaan UTM Kuala Lumpur untuk turut sama memeriahkan program. Perpustakaan UTM selaku organisasi utama yang menyediakan rujukan pengajian dan pembelajaran yang kondusif bagi warga UTM berbesar hati dengan jemputan tersebut di mana tumpuan pameran adalah mengenai koleksi bahan-bahan rujukan di bawah kategori STEM (science, technology, engineering, mathematics). Reputasi UTM selaku institusi pengajian tinggi awam yang berpengalaman dalam menyediakan lapangan pengajian di bawah kategori tersebut tentulah memiliki koleksi rujukan yang banyak dan hal ini mengujakan para pengunjung.
Dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini yang melibatkan tertubuhnya fakulti baru melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) di UTM, ia akan turut mempengaruhi koleksi bahan di Perpustakaan UTM khususnya di Kuala Lumpur di mana bahan rujukan mengenai AI akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Pihak Perpustakaan UTM Kuala Lumpur mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UTMSPACE di atas jemputan selaku pempamer dan juga kepada semua pengunjung yang telah mengunjungi reruai PUTMKL.