18 Julai 2024, Khamis – Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) UTMJB berbesar hati menerima kunjungan lawatan bagi Program Lawatan Sambil Belajar SMK Banang Jaya, Batu Pahat. Seramai 39 orang pelajar dan juga guru pengiring telah menyertai lawatan ini yang merupakan sinergi bersama UTM Space.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar untuk melihat dengan lebih dekat tentang gaya hidup mahasiswa sepanjang berada di universiti, khususnya ketika menyiapkan tugasan ataupun membuat rujukan bagi keperluan penyelidikan di perpustakaan. Petugas lawatan bagi sesi ini ialah Puan Norsyazwani Mohd Ariffin, Puan Rohayu Mohamad Hatim, Puan Nur Fatin Mohamed dan Encik Mohd. Azmi Jufri.
Sesi lawatan ini dibahagikan kepada dua (2) kumpulan. Satu kumpulan diwakili oleh dua (2) orang petugas lawatan. Seperti kelazimannya, peserta lawatan dibawa melawat ke ruang-ruang eksklusif di Perpustakaan Sultanah Zanariah terutamanya Galerium UTM yang bertempat di aras 2. Di Galerium UTM, pelawat berpeluang menyaksikan koleksi artifak yang telah dipulihara dan disimpan di galeri untuk tatapan para pelawat dan belajar mengenai perkembangan teknologi yang telah diadaptasi oleh UTM sepanjang penubuhannya. Penerangan mengenai Galerium UTM telah disampaikan oleh dua (2) orang staf dari Unit Galeri.
Kemudian, para pelawat dibawa melawat ke ruang-ruang lain di aras 2 yang turut dikenali sebagai Living Gallery di mana ia menempatkan koleksi-koleksi jurnal yang pernah dilanggan dan sedang dilanggan oleh Perpustakaan UTM. Di ruangan ini, pelawat juga teruja melihat jumlah koleksi jurnal yang sangat banyak serta telah dijilidkan dan dianggap sebagai khazanah ilmu pengetahuan di perpustakaan ini.
Seterusnya, para pelawat dibawa juga ke ruangan lain yang menjadi tumpuan mahasiswa seperti bilik karel untuk pelajar yang mahukan ruang provasi bagi mengulangkaji atau menyiapkan tugasan secara bersendiriran. Pelawat juga dapat melihat ruangan yang menempatkan bilik perbincangan bagi keperluan pengguna yang mahukan ruang tertutup untuk mereka berbincang mengenai tugasan kuliah mahupun penyelidikan. Makmal Pencarian Maklumat juga menjadi tarikan kepada para pelawat di mana ia berfungsi sebagai ruangan untuk menyediakan latihan untuk pelajar dan juga staf yang memerlukan akses kepada komputer secara berkelompok.
Bilik 24 jam merupakan sebuah fasiliti khas yang disediakan oleh perpustakaan kepada mahasiswa yang memerlukan ruang belajar selesa dan kondusif dengan kelengkapan pendingin hawa serta talian internet yang stabil tanpa limit masa di mana para pelawat merasa teruja dengan usaha yang dilakukan perpustakaan dalam memastikan mahasiswa mendapat keperluan yang optimum untuk pembelajaran mereka.
Di samping itu, para pelawat turut teruja menyaksikan jumlah koleksi bahan rujukan yang terdapat di aras 4 dan 5 di mana ia menempatkan ribuan buku-buku bagi keperluan mahasiswa untuk merujuk ataupun membaca bagi menambahkan ilmu pengetahuan. Jumlah koleksi bahan yang besar ini menyaksikan perpustakaan telah melalui zaman pertambahan ilmu pengetahuan yang panjang sedari awal penubuhannya.
Sesi lawatan ini berakhir pada jam 12.45 tengah hari dan penyampaian cenderahati telah disampaikan oleh Puan Nur Nazurah Nordin kepada wakil SMK Banang Jaya.
Semoga sesi lawatan ini dapat memberikan inspirasi kepada para pelawat untuk lebih rajin belajar sekaligus dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas alam persekolahan mereka.