Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) sinergi bersama Akademi Zakat (AZKA-PPZ) telah menganjurkan sebuah program Bicara Karya yang membicarakan sebuah buku bertajuk Zakat & Waqf: Impact on Women and Community Development. Program ini telah menampilkan seorang panel iaitu Dr. Mohammad Syukri Jalil yang merupakan Pensyarah Kanan dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Terengganu. Moderator bagi program ini ialah Puan Sharifah Ezathul Emma Syed Zainal Abidin, Pustakawan Kanan dari PSZKL.

Sesi bicara karya ini semestinya tertumpu kepada zakat dan wakaf yang menjadi tunggak utama dalam membantu ekonomi umat Islam di seluruh dunia. Buku ini  merupakan himpunan artikel yang ditulis oleh penulis berbeza berkaitan zakat dan wakaf dengan tema penulisan utamanya adalah kesan kepada wanita dan pembangunan komuniti. Terdapat 10 bab di dalam buku yang mencakupi perbincangan utama tersebut.

Di dalam ibadah zakat, syariat agama telah menggariskan lapan (8) golongan penerima zakat ataupun dipanggil asnaf yang layak sepertimana yang termaktub di dalam kitab Al-Quran. Kesemua penerima ini diutamakan kerana mereka adalah golongan yang sering menghadapi masalah dari sudut kewangan dalam meneruskan kehidupan dan dengan bantuan zakat, beban mereka dapat sama-sama ditanggung oleh umat Islam yang jauh lebih bernasib baik daripada mereka.

Di dalam buku ini, ia mengkhususkan impaknya kepada kaum wanita serta pembangunan komuniti di mana wanita sering dibelenggu masalah kewangan selepas kehilangan tempat bergantung seperti kematian suami. Di samping itu, status wanita sebagai ibu tunggal juga amat memerlukan perhatian pihak berwajib yang menguruskan dana zakat untuk membantu mereka.

Kesemua bab di dalam buku ini menerangkan secara eksklusif tentang peranan zakat dan wakaf serta bagaimana ia masih lagi dilihat tidak diaplikasikan fungsinya secara menyeluruh dalam kehidupan masyarakat, terutamanya masyarakat Muslim di Malaysia. Oleh itu, para penulis di dalam buku ini telah menyampaikan dapatan kajian mereka untuk mengangkat isu tersebut dan bagaimana ia dapat diatasi supaya zakat dan wakaf dapat dioptimumkan peranannya dalam membantu kaum wanita serta membangun komuniti secara menyeluruh.

Semoga perkongsian ilmu pada sesi ini dapat memberi manfaat kepada semua pendengar.

 

Share this :