Pada 1 Ogos 2024 (Khamis), Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dengan sinergi bersama Akademi Tamadun Islam UTM telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 14/2024 yang disiarkan secara atas talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel pengulas jemputan pada kali ini ialah Dr. Mohd Khairy bin Kamarudin dan Dr. Nasiibah binti Ramli dari Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia. Manakala moderator pada sesi kali ini adalah Dr. Nur Izzati binti Mohamad Norzilan dari Akademi Tamadun Islam.


Panel pengulas pertama, Dr. Mohd Khairy bin Kamarudin mengulas buku bertajuk Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal (1983) hasil tulisan Martin Lings @ Syeikh Abu Bakar Sirajuddin. Penulis menceritakan kepada pembaca mengenai riwayat hidup Nabi Muhammad SAW dengan terperinci dari pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi dan politik pada zaman Baginda. Menariknya mengenai buku ini ialah bagaimana penulisnya mengumpul sumber dari kitab-kitab agama samawi terdahulu sebagai perbandingan. Sebagai seorang Muslim, memiliki buku ini adalah satu kemestian dalam usaha kita untuk memahami dengan lebih mendalam tentang riwayat hidup nabi kita. Sementelah pula ia asalnya ditulis oleh cendekiawan dari barat, membacanya akan memberikan satu perspektif yang berbeza dengan sumber rujukan yang lebih teliti.


Manakala panel pengulas kedua, Dr Nasiibah binti Ramli berkongsi buku bertajuk Lentera Ilmu: Catatan-Catatan Dunia yang merupakan karya Najibah Abu Bakar. Buku ini mengandugi 25 artikel pendek yang ditulis secara santai berkenaan dengan budaya membaca dan mampu menarik minat pembaca untuk berfikir sejenak akan kepentingan peranan buku dan membaca dalam mendepani kehidupan masa kini. Buku ini turut berkongsi tips bagaimana cara untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.


Rumusan daripada program Read & Relax pada hari ini, kedua-dua ahli panel menjelaskan kepada penonton tentang cabaran terhadap penghayatan ilmu dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Impak buku terhadap masyarakat dan bagaimana ia boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan inspirasi. Terdapat banyak buku-buku ilmiah di pasaran yang padat dengan ilmu walaupun dipersembahkan dengan gaya bahasa yang santai.

Share this :