Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah berjaya melaksanakan program khidmat masyarakat melalui projek penjilidan bahan bacaan dalam format braille. Program ini telah dimulakan pada tahun 2019 dengan jumlah sebanyak 500 bahan bacaan hasil sumbangan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth Johor Bahru dan telah ditransliterasikan oleh sukarelawan yang menyertai projek ini ke format braille. Projek ini dijalankan secara berperingkat dengan mengambil kira faktor sumber bahan dan tenaga kerja.
Pada tahun 2024, projek ini memasuki fasa kedua dengan sasaran penjilidan sebanyak 100 bahan bacaan dalam format braille. Fasa ini melibatkan seramai 40 orang sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja JPUTM. Para sukarelawan bekerja secara berkumpulan dan telah diberikan latihan intensif oleh fasilitator dari dalam dan luar UTM. Latihan ini bertujuan bagi memantapkan proses penyediaan bahan bacaan format braille sekaligus memastikan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Proses penjilidan merangkumi semakan bahan bacaan, emboss (cetak), dan penjilidan. Ia dilaksanakan selama dua (2) bulan, bermula Oktober hingga November 2024, bertempat di Bilik Seminar 1, Aras 2, Perpustakaan Sultanah Zanariah, JPUTM.
Objektif utama program khidmat masyarakat ini adalah untuk menyokong dan memperkayakan bahan bacaan khusus bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) Kelainan Upaya Penglihatan di sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Projek ini diharapkan dapat merancakkan budaya membaca, seterusnya membentuk ekosistem membaca yang inklusif dan berterusan dalam kalangan MBK Kelainan Upaya Penglihatan.
Melalui penyediaan bahan bacaan tambahan ini, murid-murid dapat mengakses ilmu pengetahuan secara lebih meluas, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan kemahiran literasi mereka.