9 Januari 2025, Khamis – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) berbesar hati menerima kunjungan lawatan dari Seksyen Projek Khas Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (SPK HPTP) dengan kehadiran seramai lima (5) orang pegawai yang terdiri daripada Encik Huzaimi Amir Zainudin, Pengarah SPK HPTP; Puan Ismalaila Ismauddin, Timbalan Pengarah SPK HPTP; Puan Norazra Rahmat, Penolong Pengarah Perpustakaan; Puan Nor Rasidah Salleh @ Abd Razak, Penolong Pengarah Unit Khidmat Pengurusan dan Puan Hanny Farhana Abdul Latif, Penolong Pengarah Unit Khidmat Fasiliti. Petugas lawatan bagi sesi ini ialah Puan Zafarina Dol, Ketua Seksyen Pengurusan Koleksi dan Puan Nur Nazurah Nordin.

Objektif lawatan ini adalah untuk memperkembangkan kemahiran dan pengetahuan pegawai dalam mengurus tadbir pengurusan perpustakaan dan lain-lain fasiliti, mengenal pasti amalan dan inovasi yang terbaik dalam bidang Pendidikan tinggi yang telah diaplikasikan, meningkatkan pengetahuan berkaitan penjagaan bahan-bahan bercetak ke arah perpustakaan digital di peringkat global serta memberi penambahan ilmu kepada kakitangan SPK HPTP. Selain dari itu, ia juga bertujuan untuk mengenali bahan perpustakaan, perkhidmatan dan fasiliti yang disediakan di Perpustakaan UTM.

Seperti biasa, para pelawat dibawa ke Galerium UTM yang bertempat di aras 2, bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang menempatkan artifak-artifak UTM di awal penubuhannya yang digunakan untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran. Seterusnya, mereka dibawa melawat ke keseluruhan aras 2 yang turut dikenali sebagai Living Gallery yang menempatkan bukan sahaja koleksi-koleksi jurnal dan majalah, malahan mereka turut dapat menyaksikan perabot-perabot seperti kerusi dan meja yang masih utuh dan digunakan sejak dari penubuhan awal perpustakaan.

Seterusnya, para peserta dibawa melawat ke ruangan eksklusif yang berada di PSZ. Antaranya ialah bilik 24 jam, bilik karel, bilik eksekutif, bilik perbincangan, bilik seminar dan makmal komputer. Mereka turut mengagumi inisiatif Bilik 24 jam yang disediakan oleh perpustakaan bagi keperluan pembelajaran mahasiswa UTM di luar waktu operasi perpustakaan.

Sesi lawatan ini berakhir pada jam 3.30 petang dan sesi penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Puan Zafarina Dol kepada Puan Norazra.

Share this :