Batu Pahat, 12 Jun 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Transformasi Minda i-Talk, Cafe Ketua Pustakawan yang berlangsung di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) UTHM di mana ia dihadiri oleh delegasi-delegasi daripada beberapa buah universiti tempatan. Program ini merupakan inisiatif tahunan oleh pihak PTTA bersempena dengan Hari Pustakawan Malaysia 2025.
Delegasi dari Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) adalah terdiri daripada Puan Khairulbahiyah Yaakub, Puan Zaleha Atan, Puan Nabilah Jamil, Puan Haslinda Sabari dan Encik Mohammad Fikri Yusof. Kehadiran delegasi JPUTM ke program ini adalah untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kaedah amalan terbaik dalam tadbir urus perpustakaan serta usaha yang dilakukan oleh pengurusan perpustakaan dalam meningkatkan tahap kompetensi pustakawan untuk mendepani cabaran dunia teknologi maklumat yang semakin kompleks. Dalam hal ini, pengkhususan diberikan kepada penyampaian mengenai Citizen Science.
Program bermula seawal jam 9.00 pagi dengan ketibaan tetamu jemputan, staf dan pelajar sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program ini iaitu Puan Siti Afifah Binti Che Ismail selaku Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, PTTA UTHM. Sebanyak empat (4) sesi i-Talk yang telah disampaikan kepada para peserta di mana setiap sesi membawa topik yang berbeza namun sangat relevan dalam membuka minda para peserta mengenai kesediaan dunia kepustakawanan dalam menghadapi perkembangan maklumat tanpa batasan di samping kekal relevan sebagai institusi yang memelihara dan mengembang ilmu pengetahuan.
Sesi pertama telah disampaikan oleh Ketua Pustakawan PTTA UTHM sendiri iaitu Pn. Zaharah Abd. Samad dengan tajuk ‘Inclusive by Design: Transforming Library Spaces and Services for Everyone‘. Perkongsian yang menarik oleh Pn. Zaharah ini memperincikan tentang persoalan-persoalan yang sering ditanya kepada pengurusan perpustakaan iaitu ketersediaan perpustakaan itu sendiri dalam memberikan perkhidmatan kepada pengguna tanpa melibatkan sebarang batasan. Nilai keterangkuman yang diperincikan adalah seperti status sosial pengguna (bangsa, agama dll.) mahupun status fizikal seseorang sama ada sempurna mahupun kurang upaya. Melihat semula elemen-elemen ini adalah penting kepada perpustakaan kerana nilai inklusif yang merentasi ruang bangunan dan juga perkhidmatan akan menentukan sama ada relevan atau tidak perkhidmatan perpustakaan itu sendiri kepada pengguna, di mana dalam keadaan masakini akses maklumat itu jauh lebih mudah dengan capaian internet yang meluas.
Sesi kedua diteruskan dengan perkongsian oleh Encik Azman Abdul Rahim, Mantan Ketua Pustakawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dengan tajuk ‘Hey Librarian, What Can AI Do for You ?‘. Dunia masa kini yang telah membawa teknologi kecerdasan buatan (Artificial InteIigence) ke tahap yang lebih tinggi menyaksikan kebolehannya dalam mencari maklumat, mencerap dan menganalisis data, malah mendokumentasikan dapatan-dapatan dalam bentuk yang menarik dan lebih cepat. Hal ini semestinya perlu diadaptasi dengan segera oleh para pustakawan supaya dunia kepustakawanan tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi ini demi untuk kemudahan para pengguna yang sentiasa berkembang pengetahuan mereka dalam bidang teknologi.
Sesi ketiga pula diteruskan dengan perkongsian oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub (Timbalan Ketua Pustakawan JPUTM) dengan tajuk ‘Transforming Communities Through Citizen Science‘. Perkongsian beliau mengenai Citizen Science adalah sesuatu yang perlu diambilkira sebagai salah satu peranan perpustakaan dalam memupuk minat orang awam dalam bidang sains. Pengetahuan mengenai cerapan data, pemerhatian proses dan sebagainya dapat meningkatkan daya berfikir secara kritis dan rasional orang awam, khususnya pengguna perpustakaan yang sentiasa bergelumang dengan pelbagai sumber rujukan yang memerlukan daya pemerhatian yang tinggi. Berdasarkan rekod, komuniti luar UTM amat teruja dengan usaha yang dijalankan oleh Jabatan Perpustakaan UTM dalam memperkenalkan Citizen Science kepada mereka dengan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepada pengetahuan mereka dalam bidang sains. Penerimaan orang awam dalam pemerhatian saintifik adalah kunci kepada perkembangan intelektual masyarakat yang berasaskan bukti nyata dan rasional.
Manakala sesi perkongsian yang terakhir bertajuk ‘Persijilan SKM-PPT Kepustakawanan’ yang juga disampaikan oleh Encik Azman Abdul Rahim. Perkongsian ini adalah berkaitan dengan Sijil Kemahiran Malaysia – Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu di mana dalam hal ini, pustakawan boleh memohon sijil ini sebagai pengesahan dalam bidang kepustakawanan. Penerangan tertumpu kepada kaedah memohon, kelebihan sijil ini dan sistem yang berkaitan dengan penawaran sijil ini.
Selepas sesi perkongsian, majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah Pertandingan Swafoto D’Reading Corner @ Fakulti/PTJ dan Pertandingan Video AI Perkhidmatan PTTA. Program diakhiri dengan sesi fotografi kenangan dan jamuan tengah hari. Para peserta turut berpeluang mengikuti lawatan singkat ke bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah untuk meninjau kemudahan fizikal serta persekitaran pembelajaran yang disediakan di sana.
Keseluruhannya, program ini semestinya memberi impak pengetahuan yang sangat berguna kepada para peserta. Perkongsian yang telah disampaikan oleh para panel membuka satu lembaran pengetahuan yang lebih luas berkaitan dengan dunia kepustakawanan dan bagaimana perkembangan dalam bidang teknologi turut memberi pengaruh yang besar kepada perpustakaan dan menjadikan perpustakaan kekal relevan sepanjang masa.