Program BookSharing@UTMKL 2025 Siri ke-3 telah bersiaran secara langsung pada 14 Mei 2025 (Rabu) di mana sesi kali ini seramai dua orang panel pengulas telah dijemput untuk berkongsi bahan bacaan pilihan masing-masing. Panel pengulas jemputan ialah Puan Nur Syazwani Mohd Nasarodin dan Encik Abdul Shukur Mohamad dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).


Moderator untuk sesi kali ialah Encik Shaharudin Ali dari Perpustakaan UTMKL. Sesi dimulakan dengan perkongsian oleh panel pertama iaitu Puan Nur Syazwani yang memilih buku bertajuk ‘Can You Die of a Broken Heart’ karya Dr. Nikki Stamp.

 


Buku yang ditulis oleh pakar jantung ini membawa pembacanya untuk menyelami satu persoalan yang cukup menarik – bolehkah manusia mati akibat patah hati? Dr. Nikki Stamp membawa satu perspektif yang unik tentang pengaruh emosi seperti kesedihan daripada kehilangan atau tekanan hidup boleh memberi kesan secara langsung kepada jantung manusia. Buku ini turut memperincikan bahawa jantung merupakan organ manusia yang sangat sensitif terhadap emosi.


Lebih menarik lagi, penulis turut mengupas mengenai Takotsubo Cardiomyopathy atau lebih dikenali sebagai sindrom patah hati. Ia adalah sindrom di mana seseorang itu mengalami tekanan emosi yang melampau sehingga menjejaskan fungsi jantung secara fizikal. Buku ini secara keseluruhan mengajak pembaca untuk lebih berwaspada terhadap kesihatan jantung dan berusaha untuk mengurus emosi kendiri dengan baik bagi mengelakkan kesedihan yang melampau sehingga boleh membahayakan nyawa.


Program diteruskan lagi dengan perkongsian dari Encik Abdul Shukur bin Mohamad yang memilih buku bertajuk Lembaran Hikmah Fiqh: Jiwa & Kehidupan, hasil penulisan oleh Dr. Fadhl Abdullah Abduh Al-Murad. Menurut pengulas, buku ini disusun mengikut huruf hijaiyah yang mengandungi 28 pesanan bermakna pada setiap lembaran, dengan tema-tema tertentu yang bersumberkan Al Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.. Dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mukadimah, lauhah (alif sehingga ya) dan penutup.

Mukadimah buku ini adalah merupakan catatan penulis yang disulami dengan kefahaman ayat al-quran. Manakala ia disusuli dengan bab-bab yang disusun mengikut turutan huruf hijaiyah atau huruf al-quran iaitu alif sehingga ya. Setiap huruf mengandungi panduan kehidupan yang berpandukan kepada al-quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w..

Di bahagian penutup, penulis mengingatkan pembaca agar sentiasa memohon perlindungan Allah daripada 6 bentuk kejahatan yang boleh merosakkan jiwa dan kehidupan.


Secara keseluruhannya, buku ini berperanan sebagai panduan praktikal untuk menghayati ajaran Islam dalam kehidupan seharian, dengan penekanan terhadap keseimbangan antara tuntutan agama dan realiti kehidupan moden.

Share this :