Pada 11 Jun 2025 (Rabu), telah diadakan Program Knowledge Sharing yang bertajuk CSI Malaysia: Dunia Sains dan Forensik. Program tersebut merupakan siri Inspirasi STEM dan telah disiarkan secara langsung di Facebook UTM Library Kuala Lumpur.

Program selama satu 1 jam ini berjaya menarik minat ramai penonton kerana topiknya yang menarik, iaitu penerokaan dunia sains dan forensik menerusi perspektif penyiasatan jenayah, yang memaparkan penggunaan teknologi moden dan kepakaran tempatan dalam menyelesaikan kes-kes jenayah sebenar di Malaysia. Penceramah yang dijemput khas mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang sains dan forensik. Penceramah tersebut adalah ChM Dr. Nurzila Binti Abdul Aziz, Pegawai Sains di Jabatan Kimia Malaysia dan moderator bagi program ini ialah Puan Sharifah Radhiah Binti Syed Azman, Pustakawan Kanan di Perpustakaan UTM KL.

Dr. Nurzila merupakan seorang ahli kimia forensik yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 11 tahun. Beliau kini bertugas di Jabatan Kimia Malaysia, cawangan Johor, dengan kepakaran dalam analisis toksikologi forensik dan bahan narkotik iaitu bidang yang berkait rapat dengan penyiasatan kes jenayah melibatkan dadah serta bahan kimia berbahaya. Selain tugas utamanya, beliau juga aktif menyampaikan ceramah, bengkel dan sesi latihan yang meliputi topik seperti dadah berbahaya, keselamatan bahan kimia, pengurusan tumpahan bahan toksik serta isu-isu semasa berkaitan siasatan sains forensik dan kesihatan awam.

Pada permulaan program ini, penceramah menjelaskan tentang bagaimana proses forensik sebenarnya dijalankan. Menurut beliau, semasa analisis dijalankan, bahan bukti yang dihantar untuk pemeriksaan seperti analisis DNA, darah, dan toksikologi, memerlukan masa yang lama. Proses ini tidaklah sepantas seperti yang sering digambarkan dalam rancangan televisyen seperti CSI, di mana keputusan diperoleh dengan segera. Dari segi peralatan pula, teknologi yang digunakan adalah canggih, namun tidaklah se futuristik seperti yang sering digambarkan di televisyen. Peranan dalam penyiasatan juga berbeza, di mana realitinya di Malaysia, penyiasatan sains forensik melibatkan pelbagai pihak seperti polis, pakar sains DNA dan forensik dari hospital, serta Jabatan Kimia Malaysia.

Menurut beliau, sains forensik terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu pasukan yang turun ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan di lapangan, dan satu lagi pasukan yang bertugas di makmal bagi menganalisis bahan bukti yang dihantar. Di Jabatan Kimia Malaysia, terdapat pelbagai fungsi dan peranan khusus mengikut bahagian, dan tanggungjawab jabatan ini tidak terhad kepada bidang forensik semata-mata. Beliau turut menjelaskan bahawa Kecerdasan Buatan (AI) pada masa kini memainkan peranan penting dalam bidang sains forensik, terutamanya dalam pengecaman wajah secara biometrik, analisis cap jari, serta digunakan secara meluas dalam aspek keselamatan siber.

Sepanjang berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia, beliau telah berdepan dengan pelbagai kes menarik, terutamanya semasa bertugas di Bahagian Narkotik yang sering melibatkan makmal haram. Pengalaman dalam mengenal pasti sesuatu lokasi sebagai makmal haram merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan, kerana beliau tidak pernah terbayang bagaimana manusia menghasilkan dan memproses dadah secara haram. Setelah berpindah ke Seksyen Toksikologi, beliau berpeluang menimba pengalaman yang lebih mendalam, termasuk mengendalikan kes tragis antaranya kes seorang bayi yang meninggal dunia akibat pengambilan alkohol berlebihan.

Menurut Dr. Nurzila lagi, bagi individu yang berminat untuk menjadi ahli kimia dalam bidang forensik, mereka perlu mengambil subjek Sains di peringkat SPM. Seterusnya, pengajian boleh diteruskan ke peringkat STPM, pra-universiti, A-Level atau diploma dalam bidang yang berkaitan seperti sains atau kimia. Pada masa kini, banyak universiti juga telah menawarkan program dalam bidang Sains Forensik di peringkat ijazah sarjana muda. Kerjaya dalam bidang forensik sangat meluas dan pelbagai serta tidak terhad kepada Jabatan Kimia sahaja. Individu dalam bidang ini juga boleh berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), jabatan patologi, hospital, serta dalam bidang sains forensik perhutanan.

Di akhir perkongsian, beliau menyatakan harapan agar program sebegini dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat peranan Jabatan Kimia Malaysia. Beliau juga berharap agar perkongsian ini memberi manfaat kepada semua, khususnya dalam menarik minat para pelajar sekolah terhadap bidang STEM, iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Share this :
UTM Open Day