Program Read & Relax kembali bersiaran secara dalam talian pada tahun 2025 ini dengan memulakan sirinya yang pertama pada 17 April 2025. Pada program kali ini, panel jemputan dan moderator adalah terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kolej Tun Hussein Onn, UTMJB di mana ahli panelnya adalah terdiri daripada 2 orang mahasiswa iaitu saudara Wan Muhammad Arif Wan Halim dan saudari Nurul Amelyawati Ali Rofiq. Manakala moderator pula adalah saudara Muhammad Danish Afnan Muhamad.
Panel pertama iaitu Wan Muhammad Arif Wan Halim telah memilih buku bertajuk Surat Dari Semesta yang merupakan hasil karya penulis bernama Sofia Roses. Buku yang membawa tema “self-love” dan menggunakan pendekatan puisi ini mengajak pembacanya untuk mencari kebahagiaan dengan cara sendiri meskipun pelbagai rintangan yang datang ke dalam hidup kita. Tidak ada seorang pun individu yang boleh dinafikan haknya untuk merasa bahagia, namun ada masa dan ketikanya, ia tidak hadir dengan mudah. Malah, setiap manusia itu berbeza garis masa masing-masing dalam usaha untuk mencapai kebahagiaan. Bagi pembaca yang menyukai tulisan gaya puisi seperti buku ini pasti akan jatuh cinta dengan isi kandungannya yang puitis dan menyentuh perasaan.
Panel pengulas kedua iaitu Cik Nurul Amelyawati Binti Ali Rofiq memilih buku bertajuk Nirnama 2 hasil nukilan Hilal Asyraf. Buku ini merupakan kesinambungan epik daripada novel Nirnama, yang berlatarbelakangkan dunia fiksyen sejarah yang kaya dengan unsur Melayu-Islam. Novel ini menggabungkan elemen aksi, pengembaraan, dan konflik politik yang kompleks, menjadikannya bacaan yang mendebarkan dan penuh emosi.
Dalam Nirnama 2, pembaca akan menyelami kisah dari perspektif watak-watak di sekeliling Tuah, termasuk isterinya, sultan, rakan laksamana, dan rakyat jelata. Novel ini menampilkan tema perjuangan antara kebenaran dan kebatilan, serta ujian keimanan yang dihadapi oleh watak-wataknya. Dengan latar belakang yang kaya dengan budaya dan sejarah Melayu, serta ilustrasi yang memukau, Nirnama 2 menawarkan pengalaman membaca yang mendalam dan mengasyikkan.
Kesimpulannya, kedua-dua bahan bacaan yang dikongsikan membawa tema dan gaya yang berbeza, namun tetap dengan tujuan yang sama iaitu menyentuh emosi para pembacanya sama ada secara langsung ataupun tidak. Surat Dari Semesta membawa naratif kebahagiaan yang perlu dicari oleh setiap insan meskipun kita akan diterjah dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Manakala Nirnama 2 membawa naratif fiksyen sejarah yang membentuk semangat juang, jati diri dan bangga dengan budaya warisan bangsa di samping mempelajari tindak-tanduk insan-insan yang pernah hidup dalam lipatan sejarah untuk dijadikan iktibar kepada diri kita.