25 Jun 2025 (Rabu) – Green Office Committee (GOC) Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan sinergi bersama Jawatankuasa Pelestarian, Bahagian Pendaftar UTMKL telah menganjurkan sebuah program bertemakan kelestarian iaitu Program Perkongsian Kelestarian: Bioethanol from Cassava Roots yang bertempat di Event Space, Aras 2, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah UTMKL.


Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UTM dalam memperkukuh budaya lestari dalam kalangan warga kampus. Penal jemputan ialah Puan Nur Idzhan Sulhi, Guru Pembimbing dari St. John Institution Kuala Lumpur, yang hadir bersama tiga pelajar dari sebuah kumpulan inovatif yang dikenali sebagai Eagle Young Innovators. Barisan pelajar tersebut terdiri daripada Megat Emir Hamzah Bin Megat Shahrul Azman, Muhammad Naim Muaz Bin Mohd Idris, dan Irfan Reza Bin Shahrulreza.


Perkongsian program ini tertumpu kepada perbincangan mengenai potensi ubi kayu sebagai sumber tenaga alternatif  yang mesra alam. Pada masa yang sama, perkongsian ini dapat meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kaedah pemprosesan bahan berunsur tenaga dengan kaedah mesra alam sebagai memenuhi keperluan kelestarian alam sekitar dari segi penggunaan tenaga.


Peserta yang hadir didedahkan kepada konsep dan proses menghasilkan bioethanol daripada ubi kayu, yang dimanfaatkan dalam penghasilan ‘hand-sanitizer’ yang mesra pengguna. Sesi ini turut mengetengahkan peranan inovasi pelajar dalam membentuk penyelesaian mampan terhadap isu alam sekitar.

Program ini turut diserikan dengan gimik Pelancaran Mobile E-Waste, sebuah inisiatif hijau yang diperkenalkan untuk memudahkan warga kampus melupuskan barangan elektronik terpakai seperti telefon bimbit lama, kabel rosak, pengecas dan bateri dengan cara yang selamat, mudah dan mesra alam sekitar.


Pelancaran ini merupakan langkah penting ke arah pengurusan e-sisa yang lebih sistematik dan bertanggungjawab, sejajar dengan komitmen UTM dalam mencapai matlamat kelestarian global.


Program ini diharapkan dapat menyemai semangat inovasi lestari dalam kalangan staf, pelajar dan komuniti kampus secara menyeluruh, di samping menyokong aspirasi UTM ke arah menjadi universiti hijau yang unggul dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Share this :