Program Read & Relax Siri 3/2025 anjuran Jabatan Perpustakaan UTM, telah diadakan pada hari Khamis, 7 Ogos 2025. Program ini disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube rasmi Jabatan Perpustakaan UTM. Sesi kali ini dikendalikan oleh saudara Salihuddin bin Bakhri dari Jabatan Perpustakaan UTM. Manakala panel jemputan terdiri daripada Puan Norhalisa binti Ali dan Puan Norhamizah binti Zul staf dari Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan, UTM.


Puan Norhalisa telah megulas buku bertajuk You Are Loved karya Ustaz Mizi Wahid atau nama penuhnya Muhammad Tarmizi bin Abdul Wahid. Buku ini merupakan salah satu karya terkenal beliau dan diterbitkan sekitar tahun 2020 oleh Iman Publication. Karya ini mengupas konsep self-love dari perspektif Islam, menekankan bahawa kita sering memberi kasih sayang kepada orang lain tetapi kadangkala lupa untuk mencintai diri sendiri terlebih dahulu.

Buku ini dibahagikan kepada beberapa bab utama, antaranya pengalaman rasa tidak dicintai, hubungan dengan Tuhan dan manusia, serta penerangan mengenai tujuh prinsip cinta kepada diri sendiri seperti “You are enough”, “Your mistakes don’t define you”, dan “To know you is to love you”. Secara keseluruhannya, buku ini menawarkan pendekatan yang seimbang antara emosi dan spiritual dalam membina rasa kasih sayang terhadap diri sendiri dan sangat sesuai untuk mereka yang berdepan rasa sunyi, kehilangan harga diri, atau ingin memperbaiki self-worth.
Seterusnya, Puan Norhamizah telah mengulas buku bertajuk How Are You? yang juga diterbitkan oleh Iman Publication. Buku motivasi dan kesedaran kendiri ini mengupas isu kesihatan mental seperti tekanan, kebimbangan (anxiety), dan kemurungan (depression). Melalui pengalaman serta pandangan kedua-dua penulis, buku ini mengajak pembaca memahami perjuangan senyap yang dialami ramai individu, di samping menawarkan panduan praktikal untuk mengurus emosi dan memberikan sokongan kepada orang lain.

Keistimewaan karya ini adalah pendedahan penulis dalam membongkar beberapa mitos umum mengenai kemurungan. Antaranya anggapan bahawa ia berpunca daripada gangguan makhluk halus atau individu yang mengalaminya harus dijauhi masyarakat. Selain itu, buku ini turut menyediakan tip praktikal dan analogi yang berguna untuk memahami diri serta membantu orang di sekeliling kita.
Dengan gaya bahasa yang santai dan mesra, How Are You? sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat yang ingin meningkatkan empati, kasih sayang, dan kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan mental.