Kuching, Sarawak – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya dalam bidang literasi maklumat melalui penyertaan aktif dalam Seminar Kepustakawanan 2025 yang telah berlangsung pada 16 hingga 17 Julai 2025 bertempat di Borneo Cultures Museum, Kuching, Sarawak. Seminar anjuran Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’akub, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini menghimpunkan ahli perpustakaan dan pustakawan dari pelbagai institusi bagi berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh peranan perpustakaan selaras dengan perkembangan teknologi digital masa kini.

Mewakili UTM dalam pembentangan seminar ini ialah Puan Nurrull Huda binti Abdul Wahid dari Perpustakaan UTM dan Puan Aznita Hazlina binti Mansor dari Centre of Continuing Professional Education (UTMSPACE), yang telah membentangkan hasil penyelidikan bertajuk “Navigating the Maze: Understanding the Challenges & Factors Influencing Library Information Literacy Among Part-time Students in SPACE UTM.” Penyelidikan ini melibatkan lima orang penyelidik dan penulis, terdiri daripada dua staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan tiga staf UTMSPACE, ianya dilaksanakan dengan sokongan geran penyelidikan Vot SP-PDF2403 di bawah inisiatif pembelajaran sepanjang hayat yang melibatkan 13 pusat pembelajaran SPACE UTM di seluruh negara.

Fokus utama kajian ini adalah untuk memahami tahap literasi maklumat pelajar separuh masa, mengenal pasti halangan yang dihadapi mereka dalam mengakses dan menggunakan sumber maklumat, serta menilai keberkesanan program literasi sedia ada. Kajian ini turut mencadangkan pendekatan inovatif dan fleksibel yang dapat memperkasakan pelajar dari segi akses maklumat, keyakinan mencari sumber ilmiah dan penggunaan teknologi digital perpustakaan. Dapatan menunjukkan bahawa 77% pelajar jarang menggunakan perkhidmatan perpustakaan dan hanya melakukannya apabila terdapat keperluan untuk menyiapkan tugasan. Namun begitu, mereka yang mempunyai keyakinan tinggi dalam kemahiran pencarian maklumat lebih cenderung untuk memanfaatkan pangkalan data dan jurnal dalam talian yang disediakan.

Antara halangan utama yang dikenal pasti termasuklah kekangan masa, kurangnya kesedaran terhadap perkhidmatan perpustakaan, dan kesukaran menggunakan sistem dalam talian yang kompleks. Justeru itu, kajian ini mengesyorkan agar perkhidmatan perpustakaan ditambahbaik dengan pendekatan yang lebih mesra pengguna, sejajar dengan tabiat belajar pelajar separuh masa yang lebih fleksibel dan banyak bergantung pada pembelajaran jarak jauh dan di luar waktu pejabat.

Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan sesi kelas literasi maklumat secara dalam talian yang diadakan khusus pada waktu malam bagi memberi ruang kepada pelajar yang bekerja sepenuh masa. Inisiatif ini telah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila mencatatkan tahap kepuasan pelajar sebanyak 88.8%, melebihi sasaran kualiti yang ditetapkan. Pendekatan sebegini menunjukkan keperluan untuk merangka semula strategi latihan dan promosi literasi maklumat yang lebih responsif terhadap gaya hidup sebenar pelajar masa kini.

Penyertaan UTM dalam seminar ini bukan sahaja memperkukuh jaringan profesional antara institusi, malah menegaskan komitmen UTM dalam mendukung agenda pendidikan inklusif dan pembelajaran sepanjang hayat. Kajian ini telah membuka ruang penting ke arah penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan perpustakaan agar lebih relevan, responsif dan berimpak tinggi kepada semua lapisan pelajar, khususnya golongan dewasa dan pelajar separuh masa yang kini membentuk sebahagian besar komuniti pembelajar di institusi pengajian tinggi. Usaha ini juga selari dengan matlamat SDG 4 yang menekankan akses saksama kepada pendidikan berkualiti dan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Share this :
UTM Open Day