Program BookSharing@UTMKL 2025 Siri ke-5 telah bersiaran secara langsung pada 30 Julai 2025 (Rabu). Sesi kali ini menampilkan dua orang panel pengulas yang berkongsi bahan bacaan pilihan masing-masing iaitu Puan Nur Husna Pauzi dari Pusat Akreditasi UTM (UTM ACe) dan Encik Aifaa Nazmi Ali dari Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT). Moderator untuk sesi kali ini ialah Puan Nur Nadia Anuar dari Perpustakaan UTMKL.

Sesi dimulakan dengan perkongsian oleh panel pertama iaitu Puan Nur Husna yang memilih buku bertajuk The Tudung Anthology karya Azalia Zaharuddin. Ia merupakan antologi esei dan kisah peribadi yang menghimpunkan pelbagai perspektif tentang pemakaian tudung dalam kalangan wanita daripada pelbagai latar belakang, di seluruh dunia, tanpa mengira sempadan geografi atau budaya. Penulisan buku ini membawa naratif yang jujur, pengalaman peribadi serta dilema dalaman wanita, di samping mengetengahkan kepentingan autonomi diri, pemahaman agama dan empati dalam menilai keputusan seseorang individu.

Tema buku ini menekankan bahaya stereotaip terhadap wanita, sama ada yang berhijab atau tidak, serta menegaskan kepentingan empati dan ruang bagi setiap individu untuk membuat pilihan sendiri. Penulis turut menjelaskan tentang simbolisme tudung, yang membawa pelbagai tafsiran sebagai perlindungan, simbol agama, fesyen, atau bahkan transformasi identiti.

Pengajaran utama daripada buku ini ialah setiap wanita berhak menentukan sendiri keputusan tentang pemakaian tudung. Janganlah kita cepat menghukum; sebaliknya, belajarlah mendengar dengan empati kerana setiap tudung atau ketiadaannya membawa kisah, perjuangan, dan makna yang tersendiri.

Program diteruskan lagi dengan perkongsian dari Encik Aifaa Nazmi Ali yang memilih buku bertajuk Anekdot Kembara, hasil penulisan oleh Zainal Rashid Ahmad. Di awal perkongsian, pengulas menceritakan tentang penulis buku ini yang merupakan seorang wartawan veteran yang berpengalaman luas di dalam bidang kewartawanan, di samping juga merupakan seorang penulis. Beliau turut terkenal sebagai wartawan pertama negara yang berjaya menyelinap masuk ke Israel dan Palestin bagi dokumentasi Majalah Tiga (2005) dan Ziarah Palestin (2008).

Anekdot Kembara menghimpunkan penulisan pengembaraan penulis ke pelbagai negara Islam atas misi kemanusiaan. Setiap kisah yang dikongsikan berakar daripada pengalaman sebenar, lalu diabadikan menjadi sebuah karya yang sarat makna dan meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Di akhir perkongsian, pengulas merumuskan bahawa pengembaraan bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi juga peluang untuk mempelajari makna hidup dari perspektif yang berbeza. Buku ini mengajak pembaca untuk lebih peka terhadap dunia sekeliling, menghargai setiap pengalaman, dan melihat dunia bukan hanya dengan mata, tetapi juga dengan hati yang terbuka. Sebuah karya yang bukan sahaja menghibur, tetapi turut menyedarkan kita tentang nilai kemanusiaan yang universal.

Share this :