Jaringan kerjasama di antara perpustakaan dan komuniti luar kampus dilihat bukan lagi sesuatu yang baru atau asing sama sekali. Apabila British Library mengilhamkan projek The Last Word Community Hub yang menghubungkan perpustakaan agam tersebut dengan komuniti lokal, ia menjadi jelas buat kita bahawa perpustakaan itu tidak lagi terhad kepada menyediakan perkhidmatan peminjaman buku dan runding rujuk dalam kalangan warga kampus semata-mata, namun ia sewajarnya lebih dari itu. Perpustakaan telah menjadi medan perkongsian ilmu dan pengetahuan yang pelbagai, membentuk hubungan komuniti yang mantap melalui aktiviti-aktiviti bermanfaat serta lubuk mencari peluang dan ruang untuk mempertingkatkan keupayaan diri mahupun kualiti hidup.
Atas semangat dan daya usaha yang sama, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dengan bangganya merasmikan Library Xchange Hub pada 17 Oktober 2025. Ruang yang dilihat sederhana namun membawa semangat hubungan komuniti yang luar biasa ini bakal mengubah landskap perkhidmatan perpustakaan akademik universiti yang tidak lagi semata-mata tertumpu kepada mahasiswa dan pensyarah sahaja, namun komuniti setempat yang berdekatan dengan kampus UTM Kuala Lumpur juga akan turut sama memeriahkan perpustakaan ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang menyokong budaya ilmu merentas disiplin dan bidang.
Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM dengan diiringi oleh YBrs. Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin yang menjalankan tugas sebagai Ketua Kampus Cawangan UTM Kuala Lumpur, serta dihadiri oleh Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, Puan Khairulbahiyah Yaakub, barisan pengurusan universiti, staf, pelajar dan wakil komuniti sekitar.
Perasmian Library XChange Hub ini menandakan permulaan era baharu perpustakaan UTM ke arah konsep New Library Generation, pendekatan inovatif yang menggabungkan teknologi, keterangkuman dan kolaborasi dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran sepanjang hayat. Ruang eksklusif ini diwujudkan sebagai hab interaksi ilmu, kreativiti dan inovasi. Menurut Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Library XChange Hub mampu berperanan sebagai platform penting bagi pelaksanaan pelbagai program ilmiah dan keusahawanan yang menghubungkan universiti dengan komuniti, sekaligus memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pemangkin pembangunan ilmu, sahsiah dan jaringan pintar universiti.
Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim turut menegaskan bahawa program sebegini berupaya memperkukuh dan memperkasa budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Budaya ilmu merupakan budaya pemikiran yang berhikmah serta menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Beliau turut mengingatkan bahawa dalam usaha memperkasa ilmu dalam diri, asasnya bermula dengan membaca, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-‘Alaq: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakanmu.” Sesungguhnya ilmu yang dimiliki oleh manusia datang daripada Allah SWT yang mengurniakan akal fikiran sebagai anugerah untuk berfikir dan mencari kebenaran. Ilmu yang diterima seharusnya dimanfaatkan untuk menjadikan dunia ini lebih selamat, lebih lestari dan menjadi medan untuk kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan.
Jelas beliau lagi, ilmu yang benar akan mengajar tentang kebaikan dan mendorong manusia melakukan seribu satu amal kebajikan. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha pemurah” membawa makna bahawa membaca bukan sekadar memperoleh ilmu, tetapi juga dimanfaatkan untuk disebarkan kepada orang lain. Oleh kerana itu, usaha mendapatkan dan menyampaikan ilmu inilah yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat yang amat signifikan dalam meraih ilmu untuk membina masyarakat berilmu dan beradab.
Majlis perasmian ini turut diserikan dengan gimik pelancaran berasaskan Realiti Maya (VR) yang memperlihatkan simbolik pelancaran rasmi oleh Naib Canselor, disusuli dengan tayangan montaj perkhidmatan baharu Perpustakaan UTM serta penyempurnaan puzzle perasmian oleh Naib Canselor. Simbolik ini menandakan integrasi teknologi dalam pengalaman pembelajaran masa depan dan memperlihatkan komitmen perpustakaan terhadap inovasi digital.
Selepas perasmian, tetamu kehormat dibawa meninjau ruang Library XChange Hub yang menampilkan beberapa zon baharu seperti IDEAS Corner, Live Corner dan Gaming Zone yang menggalakkan pembelajaran interaktif, kreativiti dan kolaborasi antara pelajar serta komuniti. Inisiatif ini menzahirkan pendekatan baharu UTM dalam menjadikan perpustakaan sebagai living library space yang dinamik dan mesra pengguna, sejajar dengan keperluan pembelajaran generasi masa kini.
Secara keseluruhannya, pelancaran Library XChange Hub ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha UTM memperkukuh fungsi perpustakaan sebagai hab ilmu, inovasi dan kolaborasi, seiring dengan semangat New Library Generation yang menjadi tunjang kepada transformasi pendidikan tinggi ke arah masa depan yang progresif dan lestari.