Program BookSharing@UTMKL 2025 Siri ke-7 telah berlangsung pada 25 Oktober 2025 (Khamis). Pada sesi kali ini, dua orang pengulas telah dijemput untuk berkongsi bahan bacaan pilihan mereka, iaitu Cik Syaza Binti Ismail, Penolong Pendaftar dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) dan Encik Muhammad Aiman Bin Amrun, Penolong Pegawai Tadbir dari Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan (FSSK).

Program kali ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Azalan Bin Mohd Lazim, Pembantu Pustakawan Kanan selaku moderator. Sesi dimulakan dengan perkongsian daripada Cik Syaza Ismail yang memilih buku bertajuk Lobbying For Zionism On Both Sides Of The Atlantic yang merupakan hasil karya Ilan Pappe.

Ilan Pappé dianggap sebagai tokoh “New Historians” Israel yang dikenali kerana mencabar naratif rasmi sejarah Israel-Palestin. Karya-karyanya menyoroti isu zionisme, konflik Israel-Palestin, pembersihan etnik 1948, serta naratif sejarah alternatif.

Menurut pengulas, buku Lobbying For Zionism On Both Sides Of The Atlantic menekankan tiga intipati utama iaitu lobi asas sokongan oleh pemimpin negara Eropah, kawalan naratif melalui politik dan perundangan, media, kewartawanan, akademik, universiti, serta pembentukan pendapat umum. Manakala dari segi penginstitusian pengaruh, ia dilaksanakan melalui penubuhan pusat kajian dan perangkaan polisi, sumbangan politik serta tekanan pilihan raya, di samping gerakan berasaskan agama dan diplomasi budaya. Pengulas merumuskan bahawa lobi zionisme dibina secara sistematik melalui kawalan naratif, penguasaan teras kuasa, serta penggunaan elemen agama dan budaya sebagai alat pengaruh.

Encik Muhammad Aiman Amrun meneruskan sesi ini dengan memilih buku bertajuk Penunggu Rimba Tombiruo karya Ramlee Awang Murshid. Buku ini merupakan sebuah novel thriller popular yang  menyingkap sebuah konflik, rahsia keluarga, dan perjuangan mencari keadilan di sebalik misteri rimba.

Novel ini mengisahkan watak bernama Ejim, lelaki misteri berwajah hodoh yang hidup di rimba Keningau, Sabah dengan misi melindungi hutan. Namun tragedi memaksanya keluar ke dunia luar, membuka rahsia hidupnya yang sarat dengan dendam, pengkhianatan, dan persaudaraan.

Penyampai menyimpulkan bahawa Ramlee Awang Murshid berjaya menggarap sebuah thriller mendebarkan, sarat dengan aksi, emosi dan persoalan kemanusiaan. Dunia Tombiruo bukan sekadar pertembungan manusia dengan alam, tetapi juga pertarungan antara mitos dan realiti, keadilan dan kerakusan, serta dilema antara menjaga amanah atau mencari identiti diri sebenar.

Share this :
UTM Open Day