Satu program bagi menyantuni mahasiswa baru ke perpustakaan dengan merangka aktiviti-aktiviti menarik yang memberi input berharga kepada mereka mengenai perkhidmatan perpustakaan yang dapat membantu mereka sepanjang pengajian di UTM.

Tahun 2025 dengan semangat baru di bawah kepimpinan Ketua Pustakawan, Puan Khairulbahiyah Yaakub membawa usaha ini ke arah yang lebih tinggi dengan penganjuran UTM Library EduVibe 2025 yang telah berlangsung pada 29 hingga 31 Oktober 2025. Program ini diadakan serentak di kedua-dua bangunan utama Perpustakaan UTM iaitu Perpustakan Sultanah Zanariah dan juga Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Di samping itu, dua Perpustakaan Fakulti turut terlibat iaitu Perpustakaan Fakulti Pengurusan di bangunan kluster dan juga Perpustakaan Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Program ini semestinya menjadi platform memperkenalkan fungsi, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan kepada komuniti kampus, khususnya kepada mahasiswa baru. Pelbagai aktiviti menarik, berinformasi dan interaktif telah diadakan bagi menyemarakkan semangat pembelajaran dan pembudayaan ilmu dalam kalangan warga UTM.

 

Antara aktiviti utama yang menjadi tumpuan sepanjang program ini ialah pertandingan FIFA E-Sport, Library Games, Sharing Session, Ngopi Talk,  Research Canvas exhibition, OSHE exhibition, Mini Book Fair, food truck serta pemeriksaan mata percuma oleh pakar optometri.

 

Bagi menyertai aktiviti yang dianjurkan, mahasiswa diminta untuk mengaktifkan akaun perpustakaan terlebih dahulu bagi memudahkan urusan akses dan penggunaan perkhidmatan pada masa hadapan.

 

Di samping itu, Perpustakaan Fakulti Pengurusan turut mengadakan aktiviti seperti Kuiz Book Tree serta program Bicara Ikon Membaca MADANI Siri 2/2025 yang telah berlangsung pada 28 Oktober 2025.

Program tersebut menampilkan ikon pembaca terpilih daripada Fakulti Pengurusan yang berkongsi tentang buku kegemaran mereka serta bagaimana bahan bacaan tersebut menginspirasikan pemikiran, nilai dan gaya hidup mereka berteraskan semangat MADANI.

Tidak terkecuali juga Perpustakaan Fakulti Alam Bina dan Ukur yang turut sama mengadakan aktiviti kuiz Book Tree dan beberapa permainan lain yang memberi input tambahan kepada peserta mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan. Penyertaan yang amat menggalakkan dalam kalangan mahasiswa baru adalah bukti  bahawa mereka sentiasa dahagakan maklumat dan informasi yang boleh membantu urusan pengajian mereka di UTM, dan semestinya Perpustakaan UTM adalah antara organisasi yang bersedia membantu mahasiswa ini.


Pada 30 Oktober 2025 pula, telah berlangsung sesi perkongsian ilmu Knowledge Sharing, Inspirasi Saintis Muda bersama Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga. Beliau telah berkongsi dengan para penonton mengenai perjalanan kerjayanya dalam bidang kejuruteraan yang bukan mudah dan penuh ranjau. Pada asalnya, dorongan akademiknya dalam bidang kejuruteraan pada awalnya ditentukan oleh pilihan bapanya, namun sedikit demi sedikit, minat dicari, langkah diatur cermat dan usaha dipupuk sedaya mungkin sebelum serta kejayaan cemerlang diraih oleh beliau.

 

Kemuncak program diserikan dengan Pages of Wisdom: Human Library yang berlangsung pada 31 Oktober 2025 di mana sesi ini menampilkan Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid Omar sebagai tetamu istimewa. Platform ini memberi peluang kepada komuniti UTM untuk berinteraksi dan berdialog secara langsung dengan tokoh-tokoh inspirasi yang memiliki pengalaman, kepakaran dan pandangan berharga untuk dikongsi.

 

Sejak diperkenalkan pada tahun pertama penganjurannya, Ngopi Talk menjadi antara segmen paling dinanti oleh warga kampus. Sesi santai ini telah membantu ramai pelajar, sama ada di peringkat undergraduate mahupun pascasiswazah, dalam meningkatkan tahap celik maklumat (information literacy) serta kemahiran penyelidikan akademik mereka.

 

Program selama tiga hari ini telah menerima penyertaan yang amat menggalakkan daripada warga UTM serta mendapat maklum balas positif daripada pengguna, sama ada pengguna baharu mahupun sedia ada.

Pertandingan Amazing Race akan dilaksanakan pada 2 Disember 2025 dan Majlis penutup UTM Library EduVibe 2025 akan diadakan pada tarikh yang sama dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Amazing Race, Anugerah Peminjam Terbanyak serta penghargaan kepada fasilitator English Village.

Pihak Jabatan Perpustakaan UTM berharap agar penganjuran UTM Library EduVibe dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh budaya ilmu, mempererat hubungan antara perpustakaan dan komuniti kampus, serta memperkasa pengalaman pembelajaran berasaskan maklumat dalam kalangan pelajar UTM.


Laporan disunting oleh: Akmal Alif Amran

Share this :
UTM Open Day