Pada 4 September 2025 (Khamis), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 5/2025, yang telah disiarkan secara langsung melalui platform rasmi Facebook dan YouTube Perpustakaan UTM. Program ini telah berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Bagi siri kali ini, dua orang panel pengulas jemputan telah dijemput bagi menyampaikan ulasan karya pilihan masing-masing. Saudari Fatin Nabilah binti Farul Azhan telah membentangkan ulasan berkenaan komik Assassination Classroom, manakala Saudara Khairul Naqiu bin Ismail telah mengulas novel bertajuk Bunga Api, karya Orked V. Kedua-dua panel jemputan merupakan pelajar sangkutan daripada Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Merbok. Sesi ini telah dikendalikan oleh moderator, Saudari Badrieyna binti Badiuddahri, yang juga merupakan pelajar sangkutan dari fakulti dan institusi yang sama.

Panel pengulas pertama, Saudari Fatin Nabilah binti Farul Azhan, telah memulakan sesi dengan berkongsi ulasan komik Assassination Classroom, karya Yūsei Matsui yang diterbitkan antara tahun 2012 hingga 2016. Komik ini merupakan bahan bacaan milik peribadi beliau.

Komik ini mengisahkan kelas 3-E di Sekolah Menengah Kunugigaoka yang ditugaskan untuk membunuh guru mereka, Koro-sensei, makhluk asing berkepala sotong yang mengancam untuk memusnahkan dunia. Menurut Saudari Fatin, meskipun jalan cerita berunsur fiksyen, ia sarat dengan nilai pendidikan dan kemanusiaan.
Beliau menekankan bagaimana watak Koro-sensei, seorang guru yang penyayang dan berdedikasi, berjaya membimbing pelajar yang dipinggirkan untuk mencapai potensi sebenar mereka. Komik ini turut menyentuh isu pelajar tercicir dan pentingnya pendekatan pendidikan yang inklusif dan menyeluruh.

Panel pengulas kedua, Saudara Khairul Naqiu bin Ismail, telah berkongsi ulasan novel Bunga Api karya Orked V., yang merupakan bahan bacaan milik peribadi beliau. Novel ini diterbitkan pada tahun 2018 oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Novel Bunga Api mengisahkan seorang remaja perempuan yang berdepan dengan cabaran dalam persahabatan, percintaan, serta konflik dalaman akibat masalah kesihatan mental, khususnya PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder). Menurut Saudara Khairul, novel ini memberikan gambaran jelas tentang kesan trauma terhadap emosi dan kehidupan seharian watak utama.
Watak utama digambarkan mengalami tekanan emosi, mimpi buruk, dan ketakutan berpanjangan akibat peristiwa traumatik — simptom utama PTSD. Penulis berjaya menampilkan bahawa isu kesihatan mental bukan sekadar perasaan sedih semata-mata, tetapi merupakan masalah serius yang memerlukan sokongan emosi dan rawatan profesional. Ulasan beliau menyoroti kesukaran yang dihadapi oleh watak utama dalam menguruskan keresahan, kemurungan, dan ketidakstabilan emosi.

Sebagai penutup, Saudari Fatin Nabilah menyatakan bahawa Assassination Classroom menyampaikan mesej penting khususnya kepada golongan remaja, iaitu pendidikan bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, keyakinan diri dan kemahiran hidup. Komik ini menggalakkan remaja untuk tidak berputus asa walaupun lemah dalam pelajaran, serta menekankan nilai kerjasama dan penghargaan terhadap guru yang benar-benar prihatin. Walaupun bertemakan usaha membunuh guru yang kelihatan kontroversi, karya ini tetap menyampaikan mesej mendalam tentang keperluan pendidikan yang inklusif dan menyeluruh.

Sementara itu, Saudara Khairul Naqiu mengajak pendengar untuk lebih peka terhadap isu kesihatan mental, khususnya dalam mengurangkan stigma dan memberi sokongan kepada individu yang terkesan. Beliau menekankan pentingnya empati dalam masyarakat serta keperluan rawatan dan pemahaman terhadap penyakit seperti PTSD. Novel Bunga Api turut menyelitkan nilai moral, antaranya melalui ungkapan seperti “Kejujuran dalam hati adalah kunci untuk membina hubungan yang kukuh,” yang menyeru kepada penerimaan diri dan kekuatan dalaman. Secara keseluruhan, novel ini membuka mata pembaca terhadap kepentingan sokongan sosial dalam menghadapi cabaran kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja.