Pada 16 Disember 2025 Selasa telah diadakan satu Program Scholars Chapter anjuran Jabatan Perpustakaan UTM yang mengupas buku keluaran Penerbit UTM bertajuk “Current Trends and Issues of Housing in Malaysia” secara dalam talian menggunakan platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel jemputan bagi sesi ini ialah Sr. Dr. Tuti Haryati Binti Jasimin, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur  dan Sr Dr. Ezdihar Binti Hamzah, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Dan Ukur, UTM Johor Bahru. Manakala moderator ialah Ts. Umussaa’dah Binti Adam, Pegawai Penyelidik dari Pusat Kajian Hartanah, Universiti Teknologi Malaysia.

Sr. Dr. Tuti Haryati Binti Jasimin  memulakan perkongsian dengan menerangkan mengenai tajuk ini yang merujuk kepada perumahan merupakan komponen penting dalam pembangunan negara kerana ia mempengaruhi kesejahteraan fizikal, sosial dan ekonomi masyarakat. Buku “Current Trends and Issues of Housing in Malaysia” menawarkan pembaca pemahaman menyeluruh tentang landskap perumahan negara dengan membincangkan trend semasa, isu penyediaan perumahan serta kesan persekitaran binaan terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Kandungan buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama yang saling berkait dan relevan dengan realiti perumahan di Malaysia hari ini.

Buku ini terdiri dari tiga (3) bahagian iaitu  Bahagian I buku ini memfokuskan kepada trend semasa penyediaan perumahan dan persekitaran binaan di Malaysia. Pembangunan pesat bandar dan pertumbuhan populasi telah mendorong perubahan dalam bentuk dan reka bentuk perumahan, khususnya perumahan berstrata di kawasan bandar. Selain itu, konsep rumah pintar diketengahkan sebagai simbol kediaman moden yang mengintegrasikan teknologi digital bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kecekapan tenaga. Perubahan ini turut mempengaruhi keutamaan dalam keputusan pembelian rumah, di mana pembeli kini bukan sahaja menilai faktor harga dan lokasi, tetapi juga kualiti binaan, kemudahan sekitar serta ciri teknologi yang menyokong gaya hidup moden dan lestari.

Sr Dr. Ezdihar Binti Hamzah pula menerangkan mengenai bahagian ke-II pula membincangkan isu-isu semasa dalam penyediaan perumahan di Malaysia. Antara isu utama yang diketengahkan ialah dilema pengguna dalam membuat keputusan sama ada untuk membeli atau menyewa rumah, khususnya apabila berhadapan dengan persekitaran kediaman yang tercemar dan kurang berkualiti. Faktor seperti pencemaran bunyi, kesesakan, dan kualiti udara memberi kesan langsung terhadap kesihatan dan kesejahteraan penghuni. Selain itu, isu projek perumahan terbengkalai turut dibincangkan sebagai masalah serius yang menjejaskan pembeli, pemaju dan imej sektor perumahan negara. Kegagalan projek ini sering berpunca daripada masalah kewangan, pengurusan yang lemah dan ketidaktentuan ekonomi.

Bahagian ini juga mengetengahkan kesan pandemik COVID-19 terhadap penyediaan perumahan. Pandemik telah mengubah cara masyarakat menilai keperluan kediaman, sekali gus mendorong pemaju untuk menyediakan perumahan yang lebih sihat dan selamat. Penekanan diberikan kepada pengudaraan yang baik, ruang kediaman yang lebih fleksibel serta persekitaran yang menyokong kesihatan fizikal dan mental individu dan komuniti.

Akhir sekali, Bahagian III buku ini menumpukan kepada kesan persekitaran binaan terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Aspek keselamatan individu, keselamatan harta benda dan keselamatan struktur bangunan diberi perhatian bagi memastikan persekitaran kediaman yang selamat dan berdaya tahan. Selain itu, perbincangan turut merangkumi kesan kehidupan sosial dan budaya terhadap penduduk, termasuk interaksi komuniti, identiti kejiranan dan keharmonian sosial yang terhasil daripada perancangan perumahan yang baik.

Share this :
UTM Open Day