Pada 22 Januari 2026 (Khamis), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 1/2026 yang berlangsung dari 11.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah hari. Sesi ini telah berlangsung secara dalam talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM.

Sesi kali ini menampilkan dua orang panel pengulas jemputan, iaitu Puan Iffah binti Wan Azelee, Optometris dan  Cik Wan Norhusna Auni binti Sha’rani, Koordinator Khidmat Pelanggan dari Menara Optometry, Taman Universiti. Sesi ini telah dimoderatorkan oleh Siti Anniza binti Aznan, Pembantu Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan UTM.

Menerusi buku bertajuk Eye: How It Works hasil karya David Macaulay, panel pertama memberikan perkongsian bahawa buku ini mempunyai pendekatan yang santai serta kandungannya yang sesuai untuk kanak-kanak. Buku ini menghuraikan secara terperinci struktur mata, fungsi setiap bahagian, serta peranan penting cahaya dan otak dalam proses penglihatan. Panel turut menjelaskan bahawa mata bukan sekadar alat untuk melihat, sebaliknya memerlukan kerjasama antara struktur mata, cahaya dan otak bagi menghasilkan penglihatan yang baik. Penulis menggunakan analogi padang bola sepak serta penceritaan perlawanan bola sepak sebagai kerangka untuk memperkenalkan bahagian-bahagian mata, menjadikan penyampaian maklumat saintifik lebih hidup, menarik dan mudah difahami oleh pembaca muda.

Antara bab menarik yang dikongsikan adalah penerangan tentang situasi gegaran dan peranan lemak soket mata dalam melindungi mata, yang digambarkan melalui adegan pemain terjatuh di padang bola sepak. Melalui buku ini, panel menyatakan bahawa beliau memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang mekanisme kompleks struktur mata dan menyedari betapa uniknya anugerah penglihatan yang dikurniakan. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan rasa syukur terhadap nikmat mata yang tidak ternilai dan tidak dapat digantikan.

Dalam perkongsian seterusnya, Cik Wan Norhusna Auni binti Sha’rani, berkongsi pembacaannya melalui buku Ikigai: Cara Ikigai dalam Khidmat Pelanggan. Buku ini merupakan antara karya Justin Burns yang membincangkan konsep Ikigai, iaitu falsafah kehidupan dari Jepun yang menekankan tujuan hidup dan perkara yang memberi semangat dalam kehidupan seharian. Menurut panel, dengan gaya penulisan yang mudah difahami, buku ini sesuai dibaca oleh orang awam serta mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada pembaca.

Dari sudut konsep, panel menekankan bahawa buku ini menerapkan budaya Jepun dalam mencari makna hidup, khususnya dalam konteks kerjaya dan khidmat pelanggan. Panel menjelaskan bahawa konsep Ikigai boleh dijadikan satu kerangka kerja apabila seseorang berhadapan dengan orang ramai, terutamanya dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Antara bab yang menarik perhatian panel adalah perbincangan mengenai empat faktor utama Ikigai, iaitu perkara yang kita gemari, perkara yang kita mahir, perkara yang diperlukan oleh dunia, dan perkara yang boleh memberikan pulangan atau ganjaran. Panel menegaskan bahawa elemen what you love penting dalam khidmat pelanggan kerana elemen ini membentuk layanan yang ikhlas dan penuh empati terhadap pelanggan.

Tambah beliau lagi, antara pengajaran utama buku ini adalah keperluan dan kehendak manusia dalam kehidupan seharian saling berkait rapat dengan konsep Ikigai. Dalam konteks khidmat pelanggan, pelanggan bukan sahaja mencari produk atau perkhidmatan, malah mengharapkan kepercayaan, penghormatan dan hubungan yang baik. Panel turut berkongsi pengalaman beliau bahawa kemahiran komunikasi merupakan elemen paling penting dalam khidmat pelanggan, kerana pemahaman terhadap keperluan pelanggan akan membantu dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan.

Secara keseluruhannya, kedua-dua buku yang dikupas dalam Program Read & Relax Siri 1/2026 ini menampilkan pendekatan yang sesuai untuk keperluan tertentu. Eye: How It Works memberi fokus kepada pendidikan sains secara santai dan visual, manakala Ikigai: Cara Ikigai dalam Khidmat Pelanggan menekankan aspek motivasi serta pencarian makna dalam kehidupan dan kerjaya. Walaupun berbeza dari segi kandungan dan sasaran pembaca, kedua-dua buku ini berkongsi matlamat yang sama, iaitu memberikan ilmu, inspirasi dan manfaat kepada pembaca.

Share this :
UTM Open Day