Pada 27 Februari 2026 (Jumaat), Podcast Scholars Chapter Siri 1/2026 telah berjaya dilaksanakan menerusi siaran eksklusif di platform Facebook dan YouTube UTM Library TV. Program ini menampilkan YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim sebagai panel jemputan yang juga merupakan penulis buku Sustainable Energy: Pathway to a Greener Future. Sesi tersebut dikendalikan oleh YBrs. Dr. Asiah Nusaibah Masri selaku moderator, yang turut merupakan salah seorang penulis buku berkenaan. Kedua-dua tokoh akademik ini merupakan pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM Johor Bahru.

Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim menerangkan tentang tenaga lestari dan amalan kejuruteraan moden dan bidang tenaga. Buku ini merangkumi pelbagai topik temasuk kelestarian tenaga, teknologi pemantauan pelepasan gas rumah hijau, teknik pengoptimuman, susunan bahan api nuklear serta ramalan pelepasan kebakaran akrilik. Buku ini juga menggabungkan teori asas dan aplikasi industri, bukan sahaja bahagian teori tetapi aplikasi industri juga serta menerangkan dan menekankan startegi inovatif untuk meningkatkan lagi kecekapan dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta memajukan amalan lestari dalam pelbagai bidang kejuruteraan yang berkaitan dengan isu tenaga.

Antara objektif buku ini adalah untuk memberi fahaman menyeluruh mengenai tenaga lestari dan inovasi bahan serta memfokuskan kepada penyelesaian kejuruteraan yang mesra alam serta aplikasinya di industri. Menurut panel buku ini juga untuk meneroka kajian terkini yang berkaitan dengan teknologi hijau dan menyentuh kefahaman tenaga lestari. Menurut beliau lagi, buku ini sesuai dibaca oleh sesiapa yang berminat dalam memajukan teknologi tenaga yang lebih bersih, cekap dan mesra alam.

Buku ini turut memuatkan bab yang mengetengahkan langkah ke arah masa depan yang lebih hijau melalui peningkatan kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta pengukuhan dasar bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan tenaga lestari. Bab satu (1) menjelaskan kepentingan tenaga lestari dan keperluan mengambil tindakan segera secara berkesan.

Manakala kandungan Bab dua (2) memfokuskan pencarian sumber tenaga baharu daripada sisa. Malaysia yang kaya dengan sumber asli, khususnya sebagai antara pengeluar utama minyak sawit dunia, mempunyai potensi besar dalam pengurusan sisa kelapa sawit. Bab ini membincangkan potensi sisa biomas, terutamanya daripada industri kelapa sawit, untuk ditukarkan kepada bioetanol sebagai bahan api lestari. Perbincangan turut menyentuh kaedah penukaran sisa pertanian kepada bahan api bersih serta penilaian kebolehlaksanaan yang dijalankan melalui simulasi tanpa melibatkan kos sebenar.

Seterusnya pada Bab tiga (3) memperkenalkan kaedah yang mudah, ringkas dan efisien untuk membantu syarikat merekod serta memantau pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG). Pelepasan ini boleh berpunca daripada pelbagai sumber bergantung pada jenis operasi syarikat, khususnya aspek pengangkutan. Bab ini membimbing syarikat memasukkan data dan membuat pengiraan menggunakan alat yang diperkenalkan bagi menilai jumlah pelepasan yang dihasilkan.

Selain itu, buku ini turut membincangkan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga yang cekap. Panel menekankan kepentingan penyampaian maklumat yang tepat agar masyarakat lebih memahami peranan tenaga nuklear dalam menyokong sektor tenaga negara. Bab 4 menghuraikan proses penghasilan tenaga melalui reaktor nuklear, dengan cabaran utama terletak pada reka bentuk teras reaktor. Pendekatan Particle Swarm Optimization (PSO) diperkenalkan sebagai kaedah yang lebih praktikal untuk menentukan susun atur bahan api yang optimum. Teknik pengoptimuman moden ini berupaya meningkatkan kecekapan, keselamatan dan kemampanan tenaga nuklear pada masa hadapan.

Pada Bab lima (5) membincangkan isu kebocoran saluran paip gas dengan memperkenalkan teknik Computational Fluid Technique (CFT). Kaedah ini digunakan untuk mengoptimumkan operasi saluran paip serta mengenal pasti kawasan berisiko tinggi yang berpotensi mengalami kebocoran. Melalui pendekatan ini, langkah pencegahan dan penyelenggaraan awal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Secara keseluruhan, bab ini menjelaskan manfaat CFT dalam mengurangkan risiko kebocoran gas.

Bab terakhir iaitu Bab enam (6) pula memberi tumpuan kepada aspek pembakaran bahan akrilik yang digunakan dalam sesetengah industri. Hasil pembakaran bahan ini, khususnya asap yang terhasil, masih kurang difahami secara mendalam. Bab ini menghuraikan ciri-ciri kebakaran serta sifat asap dan zarah yang terhasil daripada pembakaran akrilik. Kajian dijalankan menggunakan teknik analisis seperti Field Emission Scanning Electron Microscope (FESEM) dan Energy Dispersive X-ray (EDX) bagi meneliti saiz zarah serta komposisi unsur yang terhasil. Dapatan menunjukkan bahawa kebakaran bahan akrilik menghasilkan campuran gas berbahaya, asap dan zarah bertoksik yang boleh menjejaskan kesihatan, malah berpotensi menyebabkan risiko kesihatan yang serius.

Secara keseluruhan, kedua-dua penulis menzahirkan harapan agar buku ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca serta menjadi rujukan yang bernilai dalam memperkukuh kefahaman tentang tenaga lestari. Mereka turut berharap agar penerbitan ini menjadi amal jariah yang berterusan serta mencetus inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus memperjuangkan kelestarian dan kemampanan tenaga negara.

Share this :
UTM Open Day