Program Sejarah Lisan Tokoh Akademik dan Pengurusan UTM telah diadakan pada 10 April 2026 bertempat di Bilik Eksekutif, Aras 4, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru. Program anjuran Seksyen Muzium & Galeri ini merupakan satu inisiatif dalam usaha memelihara dan memperkaya khazanah ilmu pengetahuan institusi melalui pendekatan sejarah lisan serta pendokumentasian tacit knowledge.

Tokoh pada sesi ini ialah Encik Mohd Fauzi bin Abd Rahman, yang telah berkongsi pengalaman, pengetahuan serta refleksi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di Universiti Teknologi Malaysia. Perkongsian ini merangkumi latar belakang pendidikan, perjalanan kerjaya, sumbangan kepada universiti serta pandangan beliau terhadap evolusi dan transformasi UTM dari semasa ke semasa. Selain itu, sesi temu bual ini turut menyentuh aspek kepimpinan, pembangunan pelajar serta peranan alumni dalam memperkukuh ekosistem universiti.

Hasil rakaman temu bual ini bukan sahaja didokumentasikan dalam bentuk video dan transkrip, malah akan dijadikan sebagai sebahagian daripada koleksi arkib UTM yang bernilai tinggi. Koleksi ini berperanan sebagai sumber rujukan penting bagi tujuan penyelidikan, pembelajaran serta pemeliharaan warisan institusi untuk generasi akan datang.